Teruja dapat tawaran universiti, tapi bimbang COVID-19

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Meskipun teruja mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT), sesetengah pelajar turut menzahirkan rasa khuatir berdepan suasana dan norma baharu dalam menghadapi COVID-19 di kampus.

-Advertisement-

Ahmad Lutfi Mohamad Yusuf, 18, yang akan menyambung Diploma Pengajian Sukan di Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata dia gembira diberi peluang menyambung pelajaran tetapi wabak itu menimbulkan rasa takut.

“COVID-19 ialah penyakit berjangkit dan sudah tentu saya ada perasaan takut jika berada di tempat orang tetapi pengajian juga penting untuk masa depan saya.

“Mungkin inilah cabaran perlu kami hadapi apabila bergelar pelajar universiti tahun ini dan saya kena mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental supaya pengajian tidak terganggu,” katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak itu.

Sementara itu, Aliarisya Zulaikha Amrol, 18, yang mendapat tawaran dalam bidang Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu, redha kerana akan berada berjauhan dengan keluarga dalam tempoh sukar ini.

-Advertisement-

“Apapun saya memilih untuk kekal positif kerana ini yang saya minat dan usahakan selama ini. Saya akan anggap ia sebahagian cabaran baharu khususnya berada jauh di samping keluarga.

“Apa pun saya kena bersedia dari sekarang sekiranya dipanggil untuk berada di kampus dalam masa terdekat ini,” katanya.

Bagi Maisarah Husna Azmi yang mendapat tawaran pengajian Diploma Kimia Perindustrian di UiTM pula mengakui ibu bapanya sedikit bimbang untuk melepaskannya dalam tempoh COVID-19 namun menyokong hasratnya untuk menyambung pengajian.

“Apa yang mereka harapkan adalah supaya saya pandai menjaga diri kerana seperti kita tahu wabak ini sukar untuk dikesan.

“Saya juga kena sentiasa mengamalkan banyak norma baharu antaranya penjarakan dan mementingkan kebersihan kerana saya menjangka suasana di universiti ketika ini tidak akan sama seperti biasa,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share