COVID-19: Jangan alpa walaupun kes turun

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula esok sehingga 31 Ogos depan, memberikan kelegaan kepada orang ramai apabila lebih banyak kelonggaran diberikan, untuk menjalani kehidupan harian.

-Advertisement-

Pelaksanaan PKPP menyaksikan bukan sahaja hampir kesemua sektor ekonomi kembali ‘hidup’, malah kegiatan sosial, pendidikan, keagamaan, dan rekreasi, juga dibenarkan beroperasi secara berperingkat dengan pematuhan sepenuhnya terhadap prosedur operasi standard (SOP), yang ditetapkan.

Antaranya perkara yang ditunggu termasuk kebenaran merentas negeri, aktiviti pelancongan domestik, perkhidmatan kedai gunting rambut dan salun kecantikan, yang dibenarkan dibuka bermula Rabu ini, selain operasi pasar malam, bazar, dan gerai pasar, mulai 15 Jun.

Ia adalah khabar gembira, setelah hampir tiga bulan rakyat negara ini terpaksa menjalani kehidupan dengan kebiasaan baharu, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demi mengekang penularan wabak COVID-19.

Terbukti kepatuhan dan disiplin tinggi ditunjukkan oleh rakyat, selain pengorbanan petugas barisan hadapan tidak sia-sia, apabila jumlah kes positif jangkitan COVID-19 semalam hanya mencatatkan tujuh kes sahaja, terendah direkodkan sejak 18 Mac lalu.

-Advertisement-

Kerisauan pelbagai pihak terhadap kemungkinan wujudnya ‘Kluster Aidilfitri’ akibat aktiviti kunjung-mengunjung pada Hari Raya Pertama juga meleset sama sekali, kerana kerjasama yang diberikan orang ramai dalam mematuhi arahan kerajaan sepanjang musim perayaan.

Ia juga bertepatan dengan ramalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada 22 Mei lalu, bahawa jangkitan dapat dikurangkan sekiranya pematuhan SOP dilakukan ketika musim perayaan.

Namun dalam kegembiraan merai kelonggaran diberikan serta kes positif COVID-19 yang semakin berkurang, pematuhan terhadap SOP perlu diteruskan dan tidak boleh dikompromi sama sekali, jika kita mahu rantaian jangkitan wabak ini diputuskan.

Memetik kata-kata Dr Noor Hisham semalam, Malaysia boleh memutuskan kadar jangkitan COVID-19 tanpa penggunaan vaksin, sekiranya rakyat terus menunjukkan pematuhan tinggi terhadap SOP dan garis panduan yang ditetapkan.

Oleh itu, dalam keterujaan menyambut kelonggaran PKPP, teruskan komitmen dalam mematuhi SOP dan tingkatkan kawalan kendiri, kerana hanya dengan cara itu kita akan dapat membantu kerajaan menunju strategi keluar, sekali gus bebas daripada wabak berkenaan.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share