Kilang kacang diserbu JAS

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor menyerbu sebuah kilang kacang di kawasan perindustrian di sini, susulan aduan penduduk sekitar yang mendapati Sungai Subang bertukar hijau dipercayai berpunca daripada pencemaran.

-Advertisement-

Kementerian Alam Sekitar dan Air dalam kenyataan media berkata, pasukan penguatkuasa JAS Negeri Selangor melakukan siasatan segera dengan menyusuri kesan pencemaran sehingga ke hulu sungai.

“JAS berjaya menemui punca yang menyebabkan pencemaran berkenaan dan pemeriksaan lanjut di kilang itu, menemui tiga tong besar yang dijadikan tempat simpanan air sisa (efluen) daripada proses merendam kacang yang menggunakan pewarna hijau.

“Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) yang dipasang di kilang didapati tidak lagi beroperasi semenjak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pemilik kilang menyimpan air sisa di dalam tong dan membuangnya ke longkang premis yang akhirnya mengalir ke Sungai Subang.

-Advertisement-

“Sampel air sisa dan enapcemar diambil sebagai bahan bukti dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis komposisi buangan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, JAS mengambil tindakan segera dengan semua peralatan proses iaitu 20 tangki merendam kacang, tiga tangki simpanan air sisa (efluen) dan SPEP disekat penggunaannya mengikut Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) berdasarkan Seksyen 38(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan operasi kilang dan pencemaran serta-merta sehingga siasatan kes selesai.

“JAS Negeri Selangor juga akan menyiapkan kertas siasatan bagi mendakwa premis di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 [PPKAS (EP), 2009] dan seksyen lain yang berkaitan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

“Pihak yang disabitkan kesalahan di bawah PPKAS (EP) 2009 boleh dikenakan hukuman iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share