Masjid, surau Terengganu boleh solat Jumaat, fardu mulai Jumaat

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, memperkenankan semua masjid dan surau di seluruh negeri melaksanakan aktiviti keagamaan, terutamanya solat Jumaat dan solat berjemaah lima waktu, berkuat kuasa Jumaat ini.

-Advertisement-

Bagaimanapun, Sultan Mizan menitahkan agar pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP), terutama penjarakan sosial satu meter antara jemaah perlu diutamakan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Osman Muda, menjelaskan bilangan jemaah yang hadir untuk menunaikan solat Jumaat dan fardu perlu mengikut keluasan masjid serta surau.

Jelasnya, Sultan Mizan juga menitahkan agar warga asing dan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun tidak dibenarkan hadir untuk menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid serta surau.

“Jemaah yang hadir perlu mematuhi SOP kesihatan dan keselamatan, terutama penjarakan sosial seperti ditetapkan kerajaan.

“Jemaah juga ditetapkan memakai pelitup muka dan tidak dibenarkan bersentuhan, termasuk bersalaman antara satu sama lain sepanjang berada dalam masjid dan surau,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Osman menjelaskan, Sultan Mizan juga menitahkan agar individu yang mempunyai gejala seperti demam, batuk, selsema, sesak nafas dan sakit tekak serta penghidap penyakit kronik tidak hadir menunaikan solat Jumaat dan fardu.

-Advertisement-

“Sultan Mizan juga menitahkan jemaah tidak berkumpul selepas menunaikan solat Jumaat dan solat fardu dan jemaah diminta mengambil wuduk sebelum ke masjid selain membawa sejadah sendiri.

“Solat sunat tidak dibenarkan sepanjang berada dalam masjid dan surau melainkan solat tahiyatul masjid,” jelasnya.

Osman menjelaskan, Sultan Mizan juga menitahkan jawatankuasa masjid dan surau memastikan pengaliran udara dalam ruang solat hanya melalui tingkap serta penggunaan kipas angin, manakala penghawa dingin tidak dibenarkan.

Tegasnya, pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diberi kuasa mengambil tindakan untuk menangguhkan solat Jumaat dan solat berjemaah jika jawatankuasa masjid dan surau gagal mematuhi SOP ditetapkan.

“Baginda menitahkan semua jawatankuasa masjid dan surau serta ahli jemaah memainkan peranan bagi memastikan semua arahan serta peraturan ditetapkan dipatuhi sewajarnya agar amal ibadat dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berjalan dengan baik.

“Baginda juga mengharapkan semua rakyat terus mematuhi arahan pihak berkuasa dalam memastikan wabak COVID-19 dapat dibendung,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share