Sektor pelancongan perlu anjakan paradigma

Estimate Reading Time: 2 minutes

KOTA BHARU: Pemain industri pelancongan perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu aktiviti harian dalam usaha memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Dr Khairil Wahidin Awang, berkata kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Malaysia Inbound Tourism Association (MITA), agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu bagi membangunkan semula industri itu.

Katanya, mereka perlu berganding bahu berusaha mengadaptasi normal baharu termasuk memahami perubahan dalam pemikiran pelancong antarabangsa mahupun tempatan.

“Antara langkah yang perlu diambil bagi memulih dan merancakkan semula sektor ini adalah dengan memfokuskan semula pelancongan domestik kerana pelancong tempatan sudah memahami prosedur operasi standard (SOP) mengenai pencegahan penularan COVID-19 seperti saranan Kementerian Kesihatan (KKM) dan patuhi ketika melancong di di seluruh negara.

“Dengan adanya kefahaman mengenai SOP yang ditetapkan sekurang-kurangnya keberangkalian penularan COVID-19 dalam kalangan pelancong domestik rendah jika mereka mengamalkan dan mematuhi kesemua SOP,” katanya ketika ditemui Bernama di UMK Kampus Kota, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Khairil Wahidin, berkata pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyyidin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok sehingga 31 Ogos, antara lain membenarkan sektor pelancongan kembali beroperasi termasuk aktiviti rentas negeri dibenarkan adalah satu tindakan produktif.

-Advertisement-

Pengumuman itu membawa perkembangan positif bagi sektor pelancongan untuk bangkit semula selepas berbulan mengalami kemerosotan disebabkan impak pandemik COVID-19.

Selain memfokuskan pelancongan domestik, Khairil Wahidin berkata konsep ‘travel bubbles’ untuk pelancongan wilayah rentas negara juga dilihat mampu untuk menyuntik semula impak positif kepada industri pelancongan.

Konsep berkenaan mula diamalkan oleh beberapa negara Baltik di Eropah Timur, Greece, dan Cyprus.

Katanya melalui konsep ini, kerajaan mungkin dapat membenarkan kemasukan pelancong asing dari negara yang kurang berisiko penularan COVID-19 serta negara yang mengamalkan SOP berkesan.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya kemasukan pelancong asing daripada negara kurang berisiko dengan mengadaptasi normal baharu seperti penjarakan sosial, menggunakan penutup hidung dan mulut, serta menjaga kebersihan diri mampu mengembangkan ekonomi semasa pelancongan negara,” katanya.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share