Nasib Man City diputus awal Julai

Estimate Reading Time: < 1 minute

SWITZERLAND: Manchester City akan mengetahui sama ada rayuan mereka terhadap penggantungan dua musim daripada kejohanan Eropah berjaya atau tidak “pada awal Julai”, umum Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) semalam.

City digantung oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan didenda 30 juta euro (RM144.83 juta) kerana memalsukan jumlah pendapatan penajaan bagi melindungi salah laku mereka dalam peraturan fair play kewangan (FFP) antara tahun 2012 hingga 2016.

Juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu bagaimanapun menafikan dakwaan badan induk bola sepak Eropah berkenaan.

Pendengaran tiga hari kes itu diadakan menerusi sidang video susulan sekatan akibat COVID-19.

“Keputusan dijangka dikeluarkan pada awal Julai 2020. Tarikh sebenar akan diberitahu lebih awal.

“Di akhir pendengaran, kedua-dua pihak berpuas hati dengan perjalanan prosedur,” kata CAS.

Keputusan itu akan dilketahui sebelum musim Liga Perdana Inggeris berakhir, selepas tertangguh tiga bulan akibat pandemik dan akan bersambung Rabu ini.

City mempunyai kelebihan 12 mata ke atas penghuni tangga kelima liga Manchester United dan seakan sudah mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

Bagaimanapun jika penggantungan itu kekal, pasukan yang berada di tangga kelima akan menggantikan mereka ke kejohanan tertinggi Eropah itu.

Hanya enam mata membezakan United dengan Crystal Palace yang berada di tangga ke-11.

Apapun keputusan rayuan, City masih boleh menamatkan kempen Liga Juara-Juara mereka musim ini.

Skuad kendalian Pep Guardiola menang 2-1 di Real Madrid pada perlawanan pertama kelompok 16 terakhir sebelum kejohanan ditangguhkan.

UEFA merancang untuk menamatkan saingan Eropah musim ini pada Ogos. – AFP

-Advertisement-

-Advertisement-

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share