Perlis benar warga asing solat jemaah di masjid

Estimate Reading Time: < 1 minute

KANGAR: Perlis memberi kelonggaran kepada warga asing berstatus pemastautin tetap di negara ini untuk hadir bersolat jemaah di masjid.

-Advertisement-

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan, berkata bagaimanapun kebenaran itu tertakluk mengikut syarat tertentu selain pelaksanaannya juga berkuota.

“Warga asing terbabit mestilah memenuhi syarat kelayakan ditetapkan sebelum ini dan adalah jemaah istiqamah ke masjid.

“Bagi warga asing yang tinggal di rumah kongsi, rumah kedai atau di kediaman yang sukar melaksanakan penjarakan sosial, kehadiran mereka ke masjid hendaklah ditangguhkan terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas mengenai kedudukan ahli jawatankuasa kariah yang berusia lebih 60 tahun, Hazman berkata, mereka turut diberi kelonggaran untuk ke masjid, namun secara bersyarat.

“Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) membenarkan mereka (berusia lebih 60 tahun) jika sihat tubuh badan dan tidak mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema hadir melaksanakan tugas pada solat Jumaat seperti ditetapkan jadual.

-Advertisement-

“Namun kebenaran itu tidak merangkumi penyertaan mereka untuk bersolat

Jumaat di luar waktu bertugas,” katanya.

Hazman berkata, beliau berharap agar ahli jawatankuasa kariah dapat mengambil langkah proaktif mengembalikan syiar Islam dan berusaha menangani wabak COVID-19.

Sebelum ini, Perlis, membenarkan penambahan bilangan jemaah bagi melakukan ibadat di masjid, terutamanya solat Jumaat dan solat berjemaah lima waktu mengikut keluasan maksimum kapasiti masjid bermula Jumaat ini.

Bagaimanapun, aktiviti lain di masjid seperti ceramah dan kuliah masih belum boleh dibenarkan dan hanya akan dilaksanakan secara dalam talian yang dikendalikan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs).

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share