Prosiding sidang video di Sabah, Sarawak bermula 15 Jun ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Badan Kehakiman akan memperkenalkan perbicaraan kes secara sidang video bagi Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Sabah serta Sarawak, dalam usaha memastikan akses keadilan dapat dilaksanakan kepada semua lapisan masyarakat.

-Advertisement-

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP) dalam kenyataan, berkata perbicaraan sidang video itu terpakai untuk pendengaran rayuan dan permohonan bagi kes sivil dan Jenayah Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Sabah dan Sarawak.

Katanya, perbicaraan kes secara sidang video bagi Mahkamah Rayuan di Sabah akan bermula pada 15 Jun 2020 dan di Sarawak pada 22 Jun 2020.

“Bagi persidangan kes secara sidang video bagi Mahkamah Persekutuan di Sabah pula akan bermula pada 6 Julai 2020 dan di Sarawak pada 10 Ogos 2020.

“Perbicaraan sidang video menggunakan perisian Skype dan Zoom atau apa-apa perisian yang ditentukan oleh mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Katanya, pada Isnin ini, suatu tayangan langsung pendengaran kes secara sidang video bagi kes di Mahkamah Rayuan di Sabah akan dijalankan.

“Panel Hakim Mahkamah Rayuan akan bersidang di Istana Kehakiman, Putrajaya manakala peguam akan berada di Mahkamah Tawau.

“Tayangan langsung itu boleh ditonton melalui Portal Rasmi Badan Kehakiman Malaysia di pautan www.kehakiman.gov.my dan saluran YouTube Badan Kehakiman Malaysia,” katanya.

Tambahnya lagi, bagi memudahkan pelaksanaannya, PKPMP turut menyediakan Panduan Pengendalian Persidangan Mahkamah Secara Sidang Video bagi Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan di Sabah dan Sarawak.

“Infografik panduan ini boleh diakses melalui portal rasmi PKPMP di www.kehakiman.gov.my,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share