Dua ahli CCIG diiktiraf perintis profesional Teknologi Seni Reka dan Multimedia Kreatif

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Dua ahli yang berdaftar di bawah bidang Teknologi Seni Reka dan Multimedia Kreatif (AM) diiktiraf sebagai perintis profesional dalam bidang teknologi tersebut, menurut Pengerusi Creative Content Industry Guild Malaysia (CCIG) Datuk Jurey Latiff Rosli.

Beliau berkata dua ahli tersebut Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq dan Tan Sri Azhar Ahmad antara 374 ahli yang berdaftar di bawah bidang teknologi AM menerusi kerjasama strategik CCIG dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) untuk menggalakkan pengiktirafan profesional MBOT.

“Kedua-dua ahli profesional perintis tersebut telah menyumbangkan idea dan kepakaran dalam membangunkan bidang teknologi masing-masing sebagai wakil CCIG terutamanya dalam sub-bidang Pembangunan Kandungan Kreatif.

“Kerjasama strategik ini bermatlamat menerokai inisiatif latihan semula dan peningkatan tahap kemahiran dalam jangka masa panjang bagi memastikan golongan profesional kandungan kreatif di Malaysia dapat menyesuaikan diri dengan perubahan pesat industri kreatif yang amat bergantung dan dipacu oleh teknologi,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

MBOT adalah badan profesional yang ditubuhkan di bawah Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) bagi mengawal selia dan mengiktiraf  teknologis dan juruteknik dalam profesion yang berasaskan teknologi.

Pada 2018, Memorandum Persefahaman (MoU) telah dimeterai antara MBOT dan CCIG untuk membangun dan memperluas sub-bidang Pembangunan Kandungan Kreatif di bawah bidang teknologi AM.

CCIG dilantik sebagai salah satu Panel Pakar Teknologi MBOT (TEP) yang memainkan peranan penting dalam membangunkan bidang teknologi AM bersama semua pemain industri dalam bidang tumpuan yang sama.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share