Peniaga durian dikompaun RM1,000 tak pamer harga

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Peniaga durian tepi jalan di Kampung Batu Balai, Jerantut menjadi individu pertama di negeri ini dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mempamerkan tanda harga.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali, berkata pihaknya terpaksa bertindak tegas terhadap peniaga terbabit baru-baru ini kerana gagal mematuhi peraturan.

Katanya, semua peniaga yang menjual apa juga jenis produk tidak mengira buah-buahan, kuih, keperluan harian dan sebagainya perlu mematuhi peraturan terutama membabitkan tanda harga.
Menurutnya, di mana juga aktiviti perniagaan dijalankan sama ada tepi jalan termasuk premis dan warung tanda harga pada setiap produk jualan perlu diletakkan secara jelas untuk dilihat oleh pengguna.

“Sempena musim durian kini pegawai KPDNHEP akan terus melakukan pemeriksaan di semua lokasi jualan raja buah bagi memastikan peniaga meletakkan tanda harga, tindakan kompaun akan dikenakan pada peniaga yang degil.

“Selain daerah ini aktiviti jualan durian tepi jalan banyak terdapat di Jerantut, Raub, Lipis, Bentong, Temerloh dan Rompin. Permintaan yang menggalakkan memberi kelebihan kepada golongan peniaga,” katanya hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, difahamkan harga durian kampung dan klon tidak sama di setiap daerah, antara RM8 hingga RM15 sekilogram (kg) jenis kampung dan RM17 hingga RM50 kg jenis klon.

Ahmad Fitri berkata, pihaknya menasihatkan peniaga durian di negeri ini supaya tidak menjual pada harga yang terlalu mahal hingga membebankan penggemarnya, durian klon jenis Musang King, D24, IOI dan Kunyit mencatat harga tinggi.

Tegasnya, peniaga durian yang gagal meletak tanda harga boleh dikenakan tindakan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993, kompaun sebanyak RM1,000.

“Saya mengingatkan peniaga durian dan hasil pertanian lain supaya dapat mematuhi peraturan ditetapkan terutama membabitkan tanda harga termasuk alat timbang yang digunakan bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares