Pahang benarkan kanak-kanak, warga emas makan di kedai

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang membenarkan kanak-kanak dan warga emas untuk masuk dan makan di premis perniagaan serta kawasan rehat dan rawat (R&R) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), berkuat kuasa serta-merta.

-Advertisement-

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata selain restoran, arahan itu turut terpakai kepada medan selera, pusat penjaja, gerai makanan di tepi jalan dan trak makanan di seluruh negeri.

“Kebenaran di kawasan R&R juga meliputi kemudahan seperti surau dan tandas awam. Bagaimanapun, larangan untuk ke taman awam dan taman permainan di kawasan itu masih kekal.

“Kebenaran ini diberikan setelah meneliti keadaan semasa dan keperluannya selain sebahagian daripada langkah peluasan operasi premis perniagaan di bawah pelaksanaan PKPP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Walaupun diberi kebenaran, Wan Rosdy menasihatkan orang awam untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan menjaga penjarakan sosial semasa berada di kawasan berkenaan.

Selain itu, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga memutuskan tiada lagi had jumlah pelanggan yang dibenarkan duduk di sesebuah meja bagi setiap premis perniagaan makanan.

“Kebenaran ini diberikan setelah meneliti keadaan semasa serta keperluannya.

“Saya meminta SOP yang ditetapkan sebelum ini seperti penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara pelanggan dan pekerja terus dipatuhi,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share