PETRONAS komited terus tajaan pendidikan

Estimate Reading Time: 2 minutes

Kuala Lumpur: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) komited meneruskan Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) bagi membangunkan modal insan, walaupun berdepan cabaran semasa dalam industri tenaga serta minyak dan gas serta penularan COVID-19.

-Advertisement-

Usaha berkenaan diteruskan bagi memastikan pelajar berkelayakan diberi peluang untuk meneruskan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi.

Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Farehana Hanapiah, berkata ia kerana program tajaan bagi pendidikan kekal menjadi keutamaan PETRONAS, sejak PESP diperkenalkan pada 1975.

Beliau berpandangan, pendidikan berperanan sebagai pentas untuk memperkasa dan meningkatkan taraf hidup serta keupayaan masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, kaedah baharu pemilihan calon PESP diperkenalkan bagi menggantikan sesi temu duga secara bersemuka, susulan penularan COVID-19.

PETRONAS memberi tumpuan bagi memupuk bakat daripada pelajar berkelayakan untuk menyumbang kepada pertumbuhan syarikat serta negara.

“Penilaian yang perlu dijalani calon PESP telah dibuat secara dalam talian sepenuhnya tanpa menjejaskan kriteria permohonan. Hal ini dapat dicapai dengan hasil kerjasama agensi yang terlibat dalam memastikan semua calon yang telah disenarai pendek dapat menjalani penilaian dalam talian dengan lancar terutamanya bagi calon di kawasan pedalaman.

“Kami juga menerima sambutan menggalakkan daripada calon yang memohon untuk menyertai PESP, dan jumlah pendaftaran adalah sangat memberangsangkan walaupun berlaku penularan COVID-19.

“Kami menerima lebih 10,000 permohonan daripada pelajar dan hanya 370 lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang layak akan dipilih menyertai PESP,” katanya.

-Advertisement-

Selain tajaan pendidikan, PESP juga mengembangkan bakat secara khusus dalam memupuk pemimpin intelektual dan kesediaan tenaga kerja dalam kalangan pelajar tajaan PETRONAS.

Farehana Hanapiah.
                                                                                                                         Farehana Hanapiah.

“Pelajar di bawah penajaan PETRONAS akan diberi sokongan dan melalui program pembangunan yang menitikberatkan keupayaan berkomunikasi, kerjasama dalam pasukan, ‘agility’ dan keyakinan diri sepanjang tempoh pembelajaran.

Sejak 1975, PETRONAS telah memberikan tajaan pendidikan kepada kira-kira 37,000 pelajar yang layak dengan kemampuan akademik dan kepemimpinan yang tinggi, dengan jumlah pelaburan melebihi RM3.3 bilion setakat ini.

Komitmen ini juga selari dengan Agenda Pembangunan Lestari PETRONAS dan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 4 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu iaitu memberi akses kepada Pendidikan Berkualiti serta SDG 8, iaitu menumpukan kepada peluang pekerjaan memuaskan serta pertumbuhan ekonomi.

Menerusi penganjuran PESP, Farehana berkata, pelajar akan diberi sokongan kewangan daripada PETRONAS bagi melanjutkan pengajian dalam pelbagai bidang berkaitan dengan industri tenaga serta minyak dan gas, antaranya kejuruteraan petroleum, kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan kimia, perundangan, perakaunan, sains komputer dan ekonomi.

“Pelajar yang layak berpeluang melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan di universiti tempatan dan antarabangsa yang terpilih antaranya di Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, China dan Jepun.

“Kami yakin pelaburan dalam sektor pendidikan dan pengembangan modal insan pada semua peringkat mampu menghasilkan bakat berterusan dan berkualiti bagi PETRONAS, industri dan negara,” kata Farehana.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares