Seramai 1,665 pelajar di Pekan ke sekolah esok

Estimate Reading Time: < 1 minute

PEKAN: Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan memberi jaminan sudah sedia sepenuhnya menerima 1,665 pelajar Tingkatan Lima dan Enam di 16 sekolah menengah daerah ini yang akan memulakan sesi persekolahan pasca COVID-19, esok.

-Advertisement-

Pegawainya, Mohd Razali Mustafar, berkata sebanyak 16 sekolah menengah termasuk lapan sekolah berasrama terbabit normal baharu persekolahan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Katanya, semua pengetua sekolah sudah diberi taklimat serta garis panduan pembukaan sekolah terutama membabitkan susun atur kelas, jumlah pelajar dan penjarakan sosial.

Katanya, sekolah terbabit juga perlu menyediakan alat pengimbas suhu badan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang ditempatkan di beberapa lokasi utama pelajar seperti di kelas, asrama serta dewan makan termasuk kantin.

“Sekolah terbabit turut menyediakan pelan laluan pelajar di semua lokasi mengikut garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang menumpukan kepada penjarakan sosial.

“Saya dan pegawai PPD Pekan sudah membuat pemeriksaan di 16 sekolah terbabit dan mendapati, mereka mematuhi semua peraturan ditetapkan,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pekan, di sini, semalam.

-Advertisement-

Beliau berkata, ketika program taklimat persiapan sesi persekolahan pihaknya turut menjemput pegawai Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pekan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pekan untuk memberi penerangan berkaitan langkah keselamatan pencegahan COVID-19 termasuk bahaya nyamuk Aedes.

Mohd Razali berkata, pihaknya turut membekalkan alat sanitasi kepada sekolah terbabit, demonstrasi sanitasi kendiri turut dilakukan pegawai Kesihatan.

Katanya, sekolah terbabit disarankan mengadakan program gotong-royong membersih kelas dan kawasan sekolah termasuk mengecat, selepas lebih tiga bulan ditutup.

“Dalam memastikan semua sekolah di daerah sentiasa berada dalam keadaan selamat aktiviti melupuskan tempat pembiakan Aedes dilakukan secara berterusan, ubat jentik-jentik turut dibekalkan.

“Justeru saya berharap ibu bapa tidak perlu bimbang tahap keselamatan anak mereka, kita sama mendoakan tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share