COVID-19 : Singapura lapor 191 kes baru, 7 dalam komuniti

Estimate Reading Time: < 1 minute

SINGAPURA: Singapura yang kini berada pada hari keenam fasa kedua pembukaan semula, hari ini mengesahkan 191 lagi kes jangkitan COVId-19, dengan tujuh melibatkan kes dalam komuniti.

Ini menjadikan keseluruhan jumlah jangkitan COVID-19 di negara itu kepada 42,623 kes.

Dalam data ringkas dikeluarkan tengah hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) berkata, daripada tujuh kes tersebut, dua melibatkan penduduk tetap dan lima lagi pemegang pas pekerja.

-Advertisement-

Kementerian itu menyatakan majoriti besar daripada kes, masih pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dalam data penuh yang dikeluarkan lewat Selasa, Singapura mengklasifikasikan 1,827 daripada kes sebagai kes berkaitan komuniti, 581 kes import dan 40,042 melibatkan kes pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Sehingga tengah hari semalam, 35,995 atau 85 peratus daripada jumlah keseluruhan pesakit telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar daripada hospital dan fasiliti komuniti.

-Advertisement-

Terdapat 192 kes yang disahkan masih dirawat di hospital, dengan seorang kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU), menurut kementerian itu.

Menurut mereka lagi, 6,219 yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan diberikan rawatan di fasiliti komuniti.

Setakat ini, Singapura merekodkan 26 kematian akibat COVId-19, dengan dua kes pertama dilaporkan pada 21 Mac.

 

Ketika tiada kluster baru dikenal pasti pada Selasa, sembilan kes baru dikaitkan dengan asrama terbesar di republik itu iaitu Sungei Tengah Lodge, yang setakat ini mencatatkan 2,055 kes yang disahkan.

— BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares