GLOW sasar bimbing 10,000 ‘freelancer’

Estimate Reading Time: 3 minutes

CYBERJAYA: Program Global Online Workforce (GLOW) yang akan dilancarkan Ogos ini bakal memanfaatkan sehingga 10,000 pekerja bebas atau freelancer di negara ini.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata program GLOW bertujuan membimbing rakyat Malaysia yang bekerja sebagai freelancer memasarkan perkhidmatan mereka ke peringkat global.

Katanya, ia sekali gus membantu golongan ini menjana pendapatan dalam talian yang lebih tinggi apabila mampu mendapatkan pelanggan pada peringkat antarabangsa.

“GLOW sebenarnya bukan program baharu dan ia dijalankan MDEC sejak 2016. Sehingga kini, ia sudah disertai hampir 53,000 orang dengan nilai pendapatan keseluruhan direkodkan lebih RM168 juta.

“Program ini sebahagian daripada inisiatif Pelan Pemulihan Jangka Pendek (PENJANA) yang diumumkan kerajaan sebelum ini dengan peruntukan RM25 juta.

“Menerusi program ini, kami mahu menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor itu yang mampu memberi peluang pekerjaan baharu,” katanya pada temu bual bersama BH.

Ekonomi gig adalah segmen ekonomi yang semakin popular sejak akhir ini, terutama dalam kalangan generasi muda.

Ia ditakrifkan sebagai pasaran kerja kontrak jangka pendek atau kerja bebas dilakukan individu dengan dipacu teknologi digital.

Ekonomi gig dijangka terus berkembang tahun ini, sejajar peningkatan kadar pengangguran.

Mengulas lanjut, Surina berkata, latihan tiga bulan program GLOW yang diberikan nanti adalah dalam talian sepenuhnya.

Katanya, berdasarkan tinjauan pihaknya ketika menganjurkan program e-usahawan dalam talian sebelum ini, 98 peratus peserta berkata tiada beza keberkesanan latihan secara dalam talian atau dalam bentuk fizikal.

“Perincian lebih lanjut mengenai GLOW akan diumumkan sewaktu pelancarannya, termasuk syarat dan kriteria untuk menyertainya serta jumlah elaun akan diberikan kepada peserta,” katanya.

Sementara itu, Surina berkata, MDEC juga diberi mandat oleh kerajaan untuk menggalakkan penggunaan e-dagang dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), PKS mikro dan pengguna.

Sehubungan itu, beliau berkata, MDEC akan bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang untuk menyediakan latihan kepada PKS dan PKS mikro bagi membantu mereka beralih kepada platform ini.

-Advertisement-

Ekonomi digital sumbang 20 peratus KDNK

Ekonomi digital dijangka menyumbang kira-kira 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Surina Shukri, berkata ekonomi digital berkembang stabil sejak dua tahun kebelakangan dengan menyumbang RM270 bilion atau 18.5 peratus kepada KDNK untuk 2018.

“Kami menjangka ekonomi digital akan terus berkembang secara mapan dan berharap usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dapat memanfaatkan teknologi digital untuk mencapai jangkauan lebih luas, meningkatkan produktiviti dan menjimatkan kos,” katanya pada temu bual bersama BH.

Surina berkata, persekitaran operasi ketika pasca COVID-19 membuatkan kebanyakan perniagaan mula berubah kepada digital susulan tekanan pandemik dan sekatan pergerakan.

“Perniagaan kini tidak lagi mengenai kepentingan melakukan transformasi digital, tetapi lebih fokus kepada cara bagaimana untuk mengadaptasi secara digital. Ini adalah perubahan besar bagi perniagaan tempatan kerana momentumnya amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata, e-dagang mewakili jumlah yang besar dalam ekonomi digital dan menjangkakan sumbangannya kepada KDNK pada tahun ini akan mencecah sehingga RM170 bilion.

Katanya, penggunaan digital dalam perniagaan adalah satu perjalanan yang luas membabitkan kehadiran dalam talian, e-dagang, operasi digital (barang dan perkhidmatan), proses digital dan penyesuaian teknologi canggih.

“Kami fokus kepada usaha menyesuaikan PKS ke dalam platform digital, yang mana pengusaha perniagaan dapat memasarkan barang dan perkhidmatan dalam talian untuk mencapai pasaran lebih luas.

“Kami melihat trend yang sihat dalam kalangan pengusaha mikro tempatan dan PKS yang melakukan transformasi digital ini,” katanya.

MDEC juga, katanya, menyaksikan peningkatan mendadak sehingga 40 peratus jualan Barangan Pengguna Cepat Laris (FMCG) menerusi platform e-dagang dalam tempoh tiga bulan terakhir ini.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai mempunyai akses yang terhad untuk membeli di kedai fizikal kerana kebanyakan pusat beli-belah atau kedai ditutup.

“Oleh itu, kami menjangkakan pasaran ‘perniagaan-ke-pengguna’ ini akan berkembang tiga kali ganda dalam empat hingga lima tahun akan datang,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share