Menagih dadah sejak tingkatan 4

Estimate Reading Time: < 1 minute

PASIR MAS: “Badan jadi kuat dan rajin bekerja sebaik menelan pil kuda, namun kesannya selepas itu membuat saya merana dan rasa tidak terkawal,” kata seorang penagih dadah berusia 19 tahun.

-Advertisement-

Dia yang dikenali sebagai Man, mengakui mengambil pil kuda ketika masih di tingkatan empat, akibat terpengaruh dengan desakan rakan seusia yang turut mengambilnya.

Man berkata, bermula dengan hanya untuk suka-suka, dia kini ketagih dan mengambil pil kuda dua kali seminggu dengan alasan untuk memudahkannya bekerja.

“Saya mendapatkan bekalan pil kuda daripada rakan sekampung dengan harga RM10 sebiji.

“Saya pernah tidak tidur sehingga empat hari kesan daripada mengambil dadah ini, namun selepas dosnya hilang badan berasa sangat penat selain mengalami sakit kepala yang teruk.

-Advertisement-

“Ibu bapa tahu apa yang saya lakukan selama ini, malah mereka beberapa kali membuat laporan supaya saya ditangkap untuk dipulihkan, namun saya masih mengulangi perbuatan itu,” katanya ketika ditemui selepas ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan dalam Operasi Total Enforcement II (Ops TE II), hari ini.

Man adalah seorang daripada 129 individu yang ditahan dalam operasi itu.

“Saya berharap keluarga tidak putus asa untuk membantu saya keluar daripada dunia yang tidak bermanfaat ini. Saya mahu bangkit dan jadi orang berguna.

“Nasihat saya pada anak muda lain, janganlah sesekali ‘sentuh’ dadah kerana ia boleh merosakkan masa depan anda,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share