Sultan Perak perkenan solat sunat Aidilaha di masjid, surau

Estimate Reading Time: 2 minutes

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan untuk membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan secara berjemaah di masjid dan surau, pada 31 Julai ini selepas mendapat pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari, berkata, jumlah jemaah yang dibenarkan berdasarkan had keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

Beliau berkata, pelaksanaan solat sunat Hari Raya Korban juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan dan kehadiran hendaklah bersama mahram.

“Memandangkan sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini jatuh pada hari Jumaat dan selaras dengan ketetapan ulil amri (pemerintah), ditegaskan bahawa solat Jumaat wajib dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha.

“Bilangan jemaah yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat di masjid dan surau diri Jumaat ialah berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan jarak satu meter antara ahli jemaah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, solat sunat Aidiladha dan solat Jumaat hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia ketika ini.

-Advertisement-

“Identiti jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat,” katanya.

Beliau berkata, hanya ibadah korban yang dianjurkan oleh jawatankuasa masjid dan surau dibenar untuk dilaksanakan pada 31 Julai hingga 3 Ogos ini serta diadakan secara terhad di kawasan halaman masjid dan surau.

“Kebenaran ini juga diberikan terhad dengan berasaskan permohonan dan kelulusan pihak berkuasa agama negeri dan jabatan perkhidmatan veterinar serta tertakluk kepada pematuhan garis panduan.

“Kehadiran semasa melaksanakan ibadat korban juga hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia. Maklumat peserta dan petugas yang melaksanakannya hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang penyembelihan serta pengagihan,” katanya.

Shahrul Azam berkata, penggunaan masjid dan surau untuk pelaksanaan solat sunat Aidiladha, solat dan kawasan halamannya untuk aktiviti ibadah korban, hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Katanya, Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan garis panduan pelaksanaan solat sunat Aidiladha dan ibadat korban kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share