JPJ P. Pinang kesan syarikat e-hailing haram, sita 11 kereta

Estimate Reading Time: 2 minutes

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengesan sebuah syarikat pengendali e-hailing haram yang beroperasi di negeri ini dan menyita 11 kenderaan dalam operasi khas yang dijalankan semalam dan hari ini.

Pengarah JPJ Pulau Pinang Adenan Md Isa berkata pihaknya menerima aduan daripada persatuan pemandu e-hailing berdaftar terhadap kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing telah menggunakan aplikasi tersebut tetapi tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Berikutan itu, JPJ telah menjalankan risikan dan operasi khas sejak semalam dan memberi tumpuan di beberapa lokasi sekitar Pulau Pinang sebelum menahan 11 kenderaan yang beroperasi sebagai e-hailing dengan syarikat antarabangsa tersebut.

“Berdasarkan siasatan, syarikat itu beroperasi di lebih 30 negara sebagai (syarikat) pengendali e-hailing, namun dipercayai masuk ke negara ini terutama Pulau Pinang sejak awal tahun tetapi sehingga hari ini syarikat itu masih belum berdaftar dengan APAD selain tidak mempunyai Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP). Kami sedang mengesan syarikat pengendali e-hailing ini untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan juga mendapati lebih 200 pemandu telah berdaftar dengan syarikat itu untuk menjadi pemandu e-hailing di Pulau Pinang dan mereka boleh membuat permohonan menerusi laman Facebook syarikat dengan mengemukakan lesen memandu, gambar pemandu, geran serta cukai jalan kenderaan untuk diproses.

Adenan berkata hasil siasatan turut mendapati syarikat terbabit membenarkan pemandu mendaftar dan mengambil penumpang walaupun tidak mempunyai lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan ia jelas tidak mengikut peraturan ditetapkan oleh Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Selain itu, katanya syarikat tersebut juga sedang mengadakan promosi untuk menarik pemandu e-hailing dengan tidak mengenakan sebarang bayaran menggunakan aplikasi syarikat malah mereka mendapat sepenuhnya bayaran daripada penumpang.

“Berdasarkan operasi, kami juga mendapati penumpang boleh tawar-menawar harga yang dikenakan menerusi aplikasi e-hailing tersebut malah ia lebih murah berbanding harga dikenakan oleh syarikat pengendali e-hailing yang lain.

“Ada di antara 11 pemandu berusia 20 hingga 50 tahun itu merupakan pemandu e-hailing bagi syarikat (e-hailing) lain dan mereka turut menjadi pemandu syarikat tersebut kerana lebih mudah mendapat penumpang serta mendapat bayaran penuh (daripada penumpang),” katanya.

Beliau berkata pihaknya memberi amaran kepada semua pemandu e-hailing serta penumpang untuk tidak menggunakan aplikasi itu kerana ia haram dan jika berlaku kemalangan semasa perjalanan mereka termasuk penumpang tidak dilindungi insurans.

Katanya semua 11 kereta itu disita dan pemandunya disiasat mengikut  Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, jika sabit kesalahan boleh didenda RM1,000 hingga RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share