Yayasan Bank Rakyat perluas bantuan kepada pelajar kurang berkemampuan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Yayasan Bank Rakyat (YBR) sentiasa cakna dan komited membantu lebih ramai pelajar yang tidak berkemampuan serta berpotensi dalam meningkatkan pencapaian pelajaran mereka.

Jika sebelum ini yayasan itu membantu Maizatul Akmal Mahat, dari Kuantan, Pahang yang berjaya mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019, kali ini seorang lagi pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan Putri Najiha Azni turut diberikan bantuan awal pengajian berjumlah RM1,950.

Putri Najihah Azni, berasal dari Taiping, Perak, yang mendapat 8A dalam peperiksaan SPM tahun lalu merupakan bakal penuntut dalam jurusan Asasi Sains Fizikal di Universiti Malaya (UM).

Walaupun mempunyai kekangan kewangan, anak kedua dari tiga adik-beradik yang telah kehilangan bapa akibat tumor otak itu, tidak patah semangat untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya bagi mengubah nasib serta taraf sosioekonomi keluarganya melalui pendidikan kelak.

Dia kini tinggal bersama ibunya yang bekerja sebagai pembantu menjual bantal kekabu di Kampung Sekolah, Pondok Tanjung, Taiping, Perak.

“Walaupun menghadapi ujian sukar, ia merupakan pendorong untuk sentiasa melakukan yang terbaik serta tidak berputus asa untuk mencapai kejayaan yang saya impikan.

“Dengan bantuan organisasi seperti YBR, tidak mustahil untuk saya mendapat pendidikan yang baik sama seperti mereka yang lain,” kata Putri Najiha dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu Pengurus Besar YBR, Norashikin Shaharudin berharap kejayaan pelajar seperti Putri Najiha bakal menjadi contoh serta inspirasi kepada generasi muda seterusnya dalam mencapai kejayaan di dalam pendidikan,” katanya.

Sehingga Jun 2020, YBR yang ditubuhkan sejak 16 Mei 2007 telah membantu lebih dari 5,399 pelajar dengan keseluruhan jumlah tajaan melebihi RM130 juta.

– BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares