Negeri Sembilan benarkan solat berjemaah, pengajian di semua masjid, surau

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN: Mulai hari ini, semua masjid dan surau di negeri ini sudah boleh mengadakan solat berjemaah dan program pengajian ilmu seperti kuliah agama, tazkirah serta kelas takmir.

-Advertisement-

Sebelum ini, hanya masjid dan surau terpilih diberikan kebenaran mengadakan solat lima waktu berjemaah tetapi majlis ilmu serta kelas takmir tidak dibenarkan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli, berkata bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada nasihat dan pertimbangan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).

Katanya, sekiranya masjid dan surau berkenaan terletak di dalam kawasan mempunyai kluster aktif COVID-19, maka ia tidak dibenarkan untuk melaksanakan ibadat berkenaan.

“Sukacita dimaklumkan semua masjid dan surau di Negeri Sembilan dibenarkan memulakan aktiviti solat berjemaah, pengajian ilmu (kuliah, tazkirah dan kelas takmir) bermula waktu Maghrib ini.

“Jumlah ahli jemaah ditentukan mengikut kapasiti ruang solat yang ditentukan oleh jawatankuasa kariah masjid dan surau dan jawatankuasa berkenaan juga perlu mematuhi garis panduan disediakan JHEAINS yang dikeluarkan sebelum ini.

-Advertisement-

“Setiap jemaah diingatkan agar mengamalkan disiplin kendiri seperti disarankan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, kebenaran solat berjemaah dan aktiviti pengajian ilmu itu disambut baik orang ramai apabila masjid dan surau bakal kembali aktif selepas terhenti lebih tiga bulan.

Ahli jawatankuasa Surau Nurul Hidayah Taman Anggerik Senawang, Mohd Rosly Jamil, 59, berkata kebenaran itu membolehkan surau di tamannya meneruskan semula solat berjemaah dan kelas pengajian agama.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa agama negeri yang memberikan kebenaran ini demi untuk kepentingan syiar Islam.

“Namun, kita masih perlu mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share