Nilai semula cadangan pembangunan Kampung Baru

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kampong Bharu (PKB) sedang menilai semula idea pembangunan yang dirancang sebelum ini sama ada dapat diteruskan atau sebaliknya.

-Advertisement-

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata faktor yang perlu diambil kira ialah dana, persetujuan dari semua pihak terbabit dan konsep yang dicadangkan itu mestilah berdaya maju.

Katanya, PKB perlu melaporkan perkembangan terkini mengenai status Kampung Baru dan selepas itu akan dibawa dalam perbincangan bersama Jemaah Menteri.

“Jika tidak dapat diteruskan, kerajaan akan berunding dengan penduduk di situ untuk pendekatan alternatif lain.

“Beberapa alternatif lain sedang difikirkan. Namun, apa yang dapat dipastikan Kampung Baru tetap akan dimajukan dan keutamaannya dengan pemilikan kekal berada di tangan orang Melayu.

-Advertisement-

“Usaha dan ikhtiar untuk majukan Kampung Baru akan diteruskan. Cuma kaedah perlu dimuktamadkan,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Pameran Kartun ‘Kartunis vs COVID-19, di Rumah Kartun dan Komik Malaysia yang mempamerkan lebih 100 lukisan dari kartunis Indonesia, Singapura dan negara ini.

Annuar berkata, sebahagian kawasan Kampung Baru boleh dimajukan perlu diteruskan tanpa perlu menunggu persetujuan bersama.

“Arahan sudah diberikan kepada PKB. Jika kita tidak dapat buat semua, jangan tinggalkan semuanya sebab Kampung Baru perlu terus untuk dimajukan,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan sebelum ini mahu membangunkan semula Kampung Baru membabitkan pengambilan tanah dari lebih 5,300 pemilik dengan harga RM1,000 untuk satu kaki persegi.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share