Semua masjid, surau di Selangor dibenarkan solat Jumaat

Estimate Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan semua masjid dan surau dibuka untuk mendirikan solat Jumaat, berkuatkuasa 3 Julai ini.

-Advertisement-

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata Sultan Selangor juga berkenan semua masjid dan surau di Selangor dibuka semula untuk mendirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Sultan Sharafuddin disembah taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dari masa ke semasa berkaitan kedudukan dan data terkini wabak COVID-19 di Selangor.

“Sultan Selangor berkenan semua masjid dan surau dibuka untuk mendirikan solat Jumaat dengan mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Mohamad Munir berkata, bilangan jemaah boleh mendirikan solat pada satu-satu masa sudah ditetapkan.

“Jumlah kehadiran jemaah solat Jumaat dan fardu ditetapkan seramai 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam; Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya.

“Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan fardu di semua masjid lain ditetapkan maksimum pada 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan.

-Advertisement-

“Jumlah kehadiran jemaah di Surau Kebenaran Solat Jumaat bagi mendirikan solat Jumaat dan fardu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau manakala di surau untuk Solat Fardu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau,” katanya.

Beliau berkata, Sultan Sharafuddin turut bertitah ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha 1441 Hijrah (H) dilaksanakan di masjid sahaja.

“Bagi surau yang merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

“Segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran secara terperinci berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor ini akan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta jawatankuasa masjid dan surau berkaitan.

“Baginda menitahkan supaya setiap jemaah wajib mematuhi SOP ditetapkan oleh JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka ketika hadir di masjid, surau serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Bagi mereka yang tidak sihat dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau,” katanya.

Katanya, Sultan Sharafuddin akan sentiasa mengikuti perkembangan dan pematuhannya dari masa ke semasa sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau di Selangor.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share