PAS sokong Muhyiddin calon PM PRU-15

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: PAS sokong kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

-Advertisement-

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS turut menyokong permuafakatan politik Perikatan Nasional (PN) demi kesejahteraan negara dan rakyat.

“Pada masa yang sama, PAS menzahirkan kepercayaan kepada (Tan Sri) Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15,” katanya dalam satu kenyataan disiarkan di laman sosial Facebook rasmi beliau, di sini, hari ini.

Semalam, pada pertemuan antara ketua parti yang mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) diadakan di Putrajaya, menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Mereka juga bersepakat memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama demi kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Sebelum ini, media melaporkan PAS akan mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri untuk dibentang serta dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 13 Julai ini.

-Advertisement-

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri yang disifatkan parti itu sebagai prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara mulai Mac lalu.

Beliau berkata, PAS yakin kepemimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan terus mendapat sokongan, malah sanjungan dari rakyat pelbagai kaum dengan perkhidmatan terbaik atas sokongan dan komitmen seluruh jentera kerajaan di peringkat Persekutuan mahupun sebahagian besar kerajaan negeri.

“Segala pakej rangsangan ekonomi yang digerakkan oleh kerajaan pula disambut baik oleh semua sektor yang bergerak serentak ke arah pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Takiyuddin berkata, PAS amat yakin usul itu akan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen apabila dibentangkan nanti.

“Dengan sokongan yang bakal diberikan, sudah pasti akan terus mewujudkan kestabilan negara dan kemakmuran bersama semua rakyat,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 3
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    3
    Shares