Bekalan air terputus Selasa minggu depan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pengguna di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air selama empat hari, mulai Selasa minggu depan.

-Advertisement-

Bekalan terputus itu berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3.

Pengarah merangkap Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Ir Abas Abdullah, berkata sebanyak 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan membabitkan lima wilayah itu akan terjejas.

Katanya, henti tugas sepenuhnya loji berkenaan merangkumi penggantian beberapa rangkaian injap utama untuk meningkatkan kecekapan sistem dan membolehkan loji itu beroperasi dengan lebih baik.

Beliau berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air juga berbeza mengikut kawasan dan bergantung kepada lokasi dan ketinggian premis pelanggan.

-Advertisement-

“Air Selangor juga membuat anggaran bahwa 48 peratus daripada semua kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air sebelum 16 Julai, diikuti oleh 80 peratus kawasan terbabit pada 17 Julai,” katanya di sini, hari ini.

Bagi membantu pengguna terjejas, beliau berkata, Air Selangor akan menggerakkan sebanyak 91 lori tangki dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Selain itu, katanya, orang ramai juga boleh menggunakan Pili Air Awam yang disediakan Air Selangor dan mereka boleh menghubungi atau berkunjung ke lapan Pusat Khidmat Setempat bermula 16 hingga 17 Julai depan.

Bagi pengguna komersial, jelasnya, mereka boleh membeli air di dua stesen pengisian air setempat menggunakan lori air masing-masing dan bayaran boleh dilakukan di semua kaunter khidmat pelanggan Air Selangor ataupun secara dalam talian.

“Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kerja henti tugas berjadual ini, pelanggan boleh merujuk laman sesawang Air Selangor atau aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turut daripada Google Play Store dan Apple App Store,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share