Johor Bahru catat rekod denggi tertinggi di Johor

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Sebanyak 80 peratus kes demam denggi di negeri ini direkodkan berlaku di daerah Johor Bahru dengan 18 kematian direkodkan sehingga Sabtu lalu.

-Advertisement-

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata punca utama Johor Bahru menjadi penyumbang terbesar pembiakan aedes ialah kebersihan premis kediaman dan persekitaran yang tidak dijaga rapi.

“Sehingga Sabtu lalu iaitu 4 Julai (Minggu Epidemiologi 27), terdapat 4,330 kes denggi dan 18 kematian dilaporkan di daerah Johor Bahru.

“Johor Bahru menjadi penyumbang utama kes penyakit demam denggi dengan mencatat sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan kes demam denggi di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, sebanyak 86 lokasi yang masih melaporkan wabak demam denggi secara aktif dengan 40 lokasi wabak berada di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), 21 di kawasan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan 25 lagi di kawasan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) .

“Lokaliti Flat Tasek 64 Bandar Sri Alam pula melaporkan wabak penyakit demam denggi berulang sepanjang empat tahun lalu dengan empat kejadian wabak pada tahun ini sahaja,” katanya.

-Advertisement-

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Program Walkabout Denggi Bersama Pemimpin dirancang bagi menangani situasi penyakit demam denggi di daerah berkenaan.

Katanya, ia selaras dengan komitmen kerajaan Johor untuk melaksanakan Kempen Johor Perangi Denggi.

“Program Walkabout Denggi bersama saya akan diadakan esok di Flat Tasek 64 Bandar Sri Alam, Pasir Gudang, dekat sini,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tindakan kawalan denggi dilaksanakan kerajaan Johor setiap kali berlakunya wabak, punca penularan masih tetap berlaku dan berulang.

“Masyarakat tidak seharusnya memandang remeh kepada demam denggi kerana ia adalah penyakit berjangkit yang berisiko menyebabkan kematian.

“Sebagaimana orang ramai sekarang berjaya melakukan kebiasaan baharu untuk mengekang wabak COVID-19, perkara yang sama perlu dibuat terutama perubahan tingkah laku,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share