Penemuan tulang, baju dikaitkan dengan kehilangan warga Australia

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN: Penemuan seketul tulang dan longgokan baju di Jalan Batu Gantung di sini, dipercayai mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan warganegara Australia, Annapuranee Jenkins, yang dilaporkan hilang sejak 13 Disember 2017.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata tulang terbabit ditemui seorang lelaki berusia 30 tahun ketika melakukan kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada jam 4 petang, 24 Jun lalu.

Katanya, lelaki itu membawa tulang dan longgokan baju berkenaan ke balai polis berhampiran sehari kemudian.

“Siasatan terhadap barangan terbabit mendapati ia mempunyai kaitan dengan kehilangan warganegara asing berkenaan di daerah ini.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap tulang berkenaan mendapati ia adalah tulang manusia, ” katanya.

Mengulas lanjut Soffian berkata, polis sedang menunggu pihak kedutaan negara berkenaan menyerahkan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ahli keluarga mangsa bagi tujuan perbandingan.

-Advertisement-

“Dalam kes ini, polis tidak pernah menghentikan siasatan dan ia dijalankan secara berterusan.

“Semua petunjuk baharu yang diperoleh akan digunakan sebaik mungkin bagi merungkai misteri kehilangan mangsa, ” katanya lagi.

Dalam kejadian 13 Disember 2017, Jenkins, 65, keluar dari bilik hotel untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja memesan perkhidmatan Uber untuk ke rumah kebajikan Little Sister of The Poor, Batu Lancang dekat Air Itam, selepas selesai rawatan.

Ketika dalam perjalanan, wanita itu meminta pemandu Uber memberhentikannya di lampu isyarat di Jalan Scotland namun demi keselamatan, pemandu terbabit memberhentikan kenderaan dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Ramakrisha.

Jenkins dilaporkan hilang sejak itu sebelum suaminya membuat laporan polis.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share