Bantuan keseluruhan BPN cecah RM10.92 bilion

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA: Seramai 10.245 juta orang sudah menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) sehingga 6 Julai lalu, membabitkan jumlah keseluruhan bayaran RM10.92 bilion dengan tahap pelaksanaan 97.5 peratus.

-Advertisement-

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata antara 26 Jun hingga 6 Julai, lebih 30,000 penerima BPN juga sudah menerima bayaran di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara, manakala bayaran rayuan BPN kepada perayu yang lulus dibuat mulai 24 Jun lalu.

Sehingga 6 Julai lalu, katanya, 140,000 individu bujang dan isi rumah menerima bantuan BPN berjumlah RM120 juta daripada peruntukan sebanyak RM139 juta.

“Bagi perayu yang lulus tetapi masih belum menerima bayaran, mereka boleh berbuat demikian dengan hadir ke Cawangan BSN seluruh negara sehingga 31 Disember 2020,” katanya dalam Laporan LAKSANA Ke-12 pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

Tengku Zafrul berkata, bagi insentif tunai kepada pemandu teksi, pemandu pelancong dan pemandu bas pelancongan, sehingga 6 Julai lalu, kerajaan telah menyalurkan bantuan kepada 28,962 penerima berjumlah RM17.4 juta pada fasa pertama.

-Advertisement-

“Bagi penerima fasa kedua, tarikh permohonan rayuan telah ditutup pada 1 Julai yang lalu dan sedang dalam proses semakan dan pembayaran dijangka akan dibuat pada pertengahan Julai,” katanya.

Bagi Geran Khas Prihatin (GKP) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Mikro pula, beliau berkata setakat 6 Julai, jumlah keseluruhan GKP yang dibayar adalah bernilai RM1.634 billion (544,632 penerima).

Katanya, pembayaran kumpulan rayuan GKP bermula minggu lalu dan perkembangan terkini akan dimaklumkan minggu depan.

Tengku Zafrul berkata, bagi program Subsidi Upah pula, sehingga 6 Julai lalu, RM7.15 bilion diluluskan bagi 310,622 majikan yang memanfaatkan lebih 2.48 juta pekerja.

-BH

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares