Proton lancar Saga edisi ulang tahun

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd hari ini melancarkan Saga Edisi Ulang Tahun secara maya melalui media sosial buat pertama kalinya bersempena ulang tahun Proton Saga ke-35.

Edisi itu adalah bagi meraikan Proton Saga pertama yang dihasilkan pada 1985 sekali gus mencatatkan sebanyak 4,150,035 unit yang telah dikeluarkan bagi model itu.

Pengeluar kereta itu berkata Edisi Ulang Tahun berkenaan hanya terhad kepada 1,100 unit dengan warna hitam dan kuning yang eksklusif pada luaran dan dalaman kereta.

Ia berharga RM39,300, sama seperti Saga Premium AT yang sedia ada selepas ditolak rebat cukai jualan.

“Proton Saga merupakan kereta yang menaikkan nama Malaysia dan mengembangkan ekonomi negara sehingga kini,” menurut Pengerusi Proton Datuk Seri Syed Faisal Albar dalam kenyataan hari ini.

Model Edisi Ulang Tahun ini turut disertai pakej aksesori termasuk ‘skirting’ depan dan sisi, visor pintu, ‘hood insulator,’ ‘trunk lid cover’ dan ‘boot tray’ berharga RM2,035.

“Ia boleh dibeli secara berasingan dan digunakan untuk model Saga 2019 dan pakej ulang tahun ini menawarkan kos penjimatan sebanyak RM315 berbanding RM2,350 jika dibeli secara berasingan,” kata Proton.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong berkata Edisi Ulang Tahun Saga itu merupakan hadiah istimewa pada hari yang istimewa untuk rakyat Malaysia.

“Ini merupakan cara kami mengucapkan terima kasih di atas sokongan anda kepada Saga sejak 35 tahun lepas. Anda boleh membuat tempahan pada hari ini dengan mengunjungi pusat jualan kami atau secara dalam talian,” katanya.

Sejak 35 tahun lepas, Proton telah menjadi pemangkin pengindustrian kepada ekonomi negara, memacu perkembangan keseluruhan ekosistem pembuatan automotif  dan menjadikan Malaysia antara negara di dunia yang mengeluarkan kereta sendiri.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share