Dewan Rakyat lulus usul pengosongan jawatan Yang Dipertua

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Usul kerajaan untuk Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof  mengosongkan jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat diluluskan Dewan Rakyat, hari ini.

Usul itu diluluskan melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 111 Ahli Parlimen bersetuju manakala 109 lagi tidak bersetuju dengan usul berkenaan.

Mengumumkan keputusan undi berkenaan, Timbalan Speaker Datuk Mohd Rashid Hasnon juga berkata seorang Ahli Parlimen tidak hadir.

-Advertisement-

Usul itu dicadangkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atas alasan terdapat pencalonan lain bagi jawatan Yang Dipertua.

Perdana Menteri dijadual membawa usul mencadangkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan @ Harun dipilih menjadi Yang Dipertua mengikut Peraturan Mesyuarat 4(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat selepas ini.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan ketika menggulung perbahasan usul itu menjelaskan pertukaran jawatan-jawatan utama termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam negara lazim berlaku apabila kerajaan baharu mengambil alih tampuk pemerintahan.

-Advertisement-

Menurutnya Perdana Menteri telah memberi notis untuk pencalonan nama baharu bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 29 Jun lalu dan perkara itu telah diterima dan dimasukkan sebagai satu usul yang perlu dibahaskan.

“Kita (kerajaan) juga setelah membuat penilaian dan berpendapat bahawa Speaker perlu ditukar dengan alasan (Mohamad Ariff) tidak boleh memenuhi hasrat dan aspirasi kerajaan sedia ada,” katanya.

Menjawab persoalan yang dibangkitkan pembangkang mengenai sama ada perlu ada kekosongan untuk melantik Yang Dipertua baharu, Takiyuddin berkata Perkara 57 (2) (c) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah mengosongkan jawatannya jika pada bila-bila masa dewan membuat ketetapan sedemikian.

Sementara itu, Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membahaskan usul itu berpendapat pemilihan seorang Yang Dipertua mestilah seorang yang neutral dan tidak memihak kepada mana-mana pihak bagi memastikan sesuatu keputusan yang dibuat tidak mengikut telunjuk kerajaan.

“Adalah bukan tugas Speaker untuk ikut telunjuk dalam kerajaan… kenapa nak takut, kamu (kerajaan) ada lebihan bilangan dalam dewan ini,” katanya.

Ahli Parlimen Arau Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pula menegaskan pencalonan Yang Dipertua baharu adalah mengikut peraturan dan tertib dengan mengemukakan notis 14 hari sebelum mesyuarat bermula.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share