Ketua Pembangkang New Zealand umum letak jawatan

Estimate Reading Time: < 1 minute

WELLINGTON: Ketua pembangkang New Zealand meletakkan jawatan secara tiba-tiba, hari ini, atas alasan kesihatan hanya selepas beberapa minggu menyandang jawatan itu.

-Advertisement-

Tindakan Todd Muller itu sekali gus menyebabkan partinya berada dalam keadaan bercelaru menjelang pilihan raya menentang Perdana Menteri, Jacinda Ardern.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada awal pagi, Muller mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Nasional berkuat kuasa serta-merta dengan menyatakan: “Saya bukan individu terbaik untuk jawatan itu.”

Muller, 51, menyingkirkan penyandang terdahulu, Simon Bridges, akhir Mei lalu, namun dilihat gagal mengalihkan sokongan kuat diperoleh Ardern menjelang pilihan raya pada 19 September depan.

“Peranan itu memberi beban amat berat terhadap saya secara peribadi serta keluarga saya, dan ia tidak dapat diteruskan lagi dari perspektif kesihatan,” katanya.

-Advertisement-

Beliau tidak memperincikan masalah kesihatannya, namun pengarang politik New Zealand Herald, Audrey Young, mendakwa bahawa Muller bergelut untuk menangani peranan berprofil tinggi itu.

Radio New Zealand pula melaporkan, Muller didakwa mengasingkan dirinya daripada kakitangan dan rakan sekerja sejak kebelakangan ini ketika tekanan semakin memuncak.

Dalam pada itu, Ardern menzahirkan ucapan selamat kepada Muller dan keluarganya.

“Tidak kira anda duduk di sebelah mana dalam Parlimen, politik adalah tempat yang sukar,” katanya.

– AFP

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share