Tesco Malaysia kini dijana dengan tenaga solar

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd (Tesco) dan NE Suria Satu Sdn Bhd (NESS), syarikat usaha sama PETRONAS dan NEFIN Group, menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa (PPA) jangka panjang terbesar (Tesco-NESS PPA) bagi tenaga solar di Malaysia.

Tesco dan NESS dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata fasa pertama PPA Tesco-NESS akan menyaksikan pemasangan panel fotovoltaik solar (PV) di ruang atas bumbung 15 cawangan Tesco di seluruh negara yang akan berjalan selama 20 tahun hingga 2040.

“Setelah pemasangan selesai pada Oktober 2020, panel solar PV ini akan secara kolektif menghasilkan sekitar 18 jam gigawatt (GWh) tenaga bersih setiap tahun, sehingga mengurangkan sekitar 13,624 tan pelepasan karbon ke atmosfera.

 

-Advertisement-

-Advertisement-

“Tenaga yang dihasilkan dari panel solar PV juga dapat menerangi sebanyak 104 stadium bersaiz Olimpik secara serentak atau 804,905 rumah tiga bilik tidur selama satu tahun,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Paul Ritchie berkata pemasangan panel solar PV di 15 daripada 62 cawangannya itu adalah fasa pertama dalam usaha tenaga boleh diperbaharui Tesco.

“Ini adalah antara usaha berterusan kami untuk kelestarian alam sekitar, yang sudah pun termasuk mengukur dan menerbitkan data sisa makanan kami dan pengurangan penggunaan beg plastik sekali pakai di cawangan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah NESS dan Ketua bahagian Tenaga Baharu Petronas Dr Jay Mariyappan berkata NESS akan melabur sepenuhnya dalam projek panel solar PV di kesemua 15 cawangan Tesco, termasuk reka bentuk, pemasangan, operasi dan penyelenggaraan sistem solar PV.

“Dengan kemampuan kolektif PETRONAS dan NEFIN, kami yakin bahawa kami akan dapat menyokong Tesco dalam merealisasikan matlamat kelestarian yang akhirnya akan memberi manfaat kepada kita semua,” katanya.

Cawangan yang akan dilengkapi dengan panel solar PV ialah Tesco Mergong, Tesco Sungai Petani Selatan, Tesco Bukit Mertajam, Tesco Rawang, Tesco Ipoh, Tesco Station 18, Tesco Klang, Tesco Puchong, Tesco Bukit Puchong, Tesco Extra Seremban Jaya, Tesco Kulim, Tesco Stargate, Tesco Seberang Jaya, Tesco Jitra dan Tesco Kampar.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share