Polis Marin kenal pasti tekong, penyeludup perairan di Johor

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) memberi amaran kepada sindiket penyeludupan yang gerak-geri mereka sentiasa diawasi, kata Komander PPM, Senior Asisten Komisioner (ACP) Mohd Yusoff Mamat.

-Advertisement-

Beliau berkata, lebih 10 sindiket yang aktif melakukan jenayah di kawasan perairan Wilayah Dua (W2) diambil tindakan dan sindiket lain juga berada dalam ‘genggaman’ PPM.

Katanya, maklumat setiap sindiket terbabit juga disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah polis setiap negeri untuk tindakan lanjut.

“Kita hendak tegaskan senarai mereka (sindiket) sudah kita kenal pasti termasuk tekong dan sebagainya untuk diambil tindakan bersama polis Johor dan negeri lain.

“Mereka ini antaranya adalah rakyat tempatan, rakyat asing dan pemegang taraf pemastautin tetap (PR), maka kita beri amaran kepada mereka,” katanya.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Komander PPM W2 antara ACP Abdul Rahman Mohamad yang akan bersara wajib esok dengan ACP Muhd Zailani Abdullah di Markas PPM W2 Tampoi, di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, perairan Johor diketahui antara tempat laluan utama penyeludupan bagi pendatang atau barang tiruan kerana terletak berhampiran dengan Indonesia.

“Di sebelah barat Johor, jarak antara Pulau Karimun, Indonesia dan Kukup di Pontian (Malaysia) hanya 12 batu nautika, sementara di sebelah timur, kawasan Pengerang di Kota Tinggi dengan Pulau Bintan dan Batam (Indonesia) berjarak hanya 20 batu nautika,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, PPM akan terus menjalankan pemantauan di kawasan perairan negara dengan memperketatkan kawalan dan menggerakkan aset untuk membuat rondaan bagi menangani masalah itu secara total.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share