7 sekeluarga dalang pecah rumah, samun ditahan

Estimate Reading Time: 2 minutes

SUNGAI BULOH: Tujuh sekeluarga termasuk sepasang suami isteri antara lapan yang ditahan kerana mendalangi kegiatan pecah rumah dan samun di sekitar daerah ini menerusi Op Pintu Khas bermula 10 Julai hingga 16 Julai lalu.

Kesemua suspek berusia antara 15 hingga 37 tahun itu ditahan dalam tujuh serbuan berasingan di Bandar Sri Damansara; Taman Dato Ahmad Razali, Ampang; Seksyen 26 Shah Alam; Rumah Kusta Hospital Sungai Buloh dan Bandar Baru Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar, berkata kumpulan ini yang diketuai suspek bernama Karu dikesan aktif melakukan pecah rumah, samun dan samun tepi jalan sejak awal tahun lalu.

“Suspek yang berusia 25 tahun dikesan mempunyai 15 rekod jenayah membabitkan kesalahan samun, pecah rumah, curi kenderaan, dadah serta pernah dua kali dikenakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Isterinya yang sedang mengandung lapan bulan turut dikesan mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes pecah rumah, merusuh serta curi kenderaan.

“Wanita itu juga berperanan sebagai penyimpan dikesan bersubahat dengan suami sebagai penyimpan dan penjual barang yang disamun,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, siasatan mendapati tujuh suspek mempunyai hubungan kekeluargaan termasuk adik beradik dan ipar manakala suspek kelapan adalah rakan kepada keluarga itu.

“Menerusi tujuh serbuan itu juga, kita berjaya merampas dua bilah parang, peralatan pecah rumah, serta barang hasil kegiatan samun antaranya 32 telefon bimbit, 37 jam tangan, 25 pelbagai barang kemas serta tiga televisyen.

“Kita turut berjaya merampas beberapa barang kemas yang sudah dipajak di dua kedai pakai gadai di Rawang dan Sungai Buloh. Kita turut memanggil pemilik kedai untuk membantu siasatan,” katanya.

Siasatan lanjut mendapati kumpulan ini dipercayai mendalangi sekurang-kurangnya 30 kes pecah rumah dan samun termasuk di daerah Gombak, Shah Alam dan Sentul.

Selain pasangan suami isteri itu, empat lagi suspek turut dikesan mempunyai rekod jenayah lampau termasuk jenayah samun dan pecah rumah.

Kesemua suspek direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah.

-Advertisement-

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menunjukkan parang yang digunakan untuk samun dan pecah rumah pada sidang akhbar penangkapan Geng Karu yang menyamun dan pecah rumah di IPD Sungai Buloh. - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar menunjukkan parang yang digunakan untuk samun dan pecah rumah pada sidang akhbar penangkapan Geng Karu yang menyamun dan pecah rumah di IPD Sungai Buloh. – NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share