Festival Filem Mini UNIMAS berlangsung dalam talian tahun ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUCHING: Festival Filem Mini Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) mencatat rekod tersendiri apabila buat julung kalinya ia akan dianjurkan secara dalam talian susulan pandemik COVID-19.

Pengaturcaranya Yow Chong Lee berkata festival yang memasuki edisi ke-16 tahun ini diuruskan sepenuhnya oleh pelajar dan pensyarah Program Sinematografi UNIMAS.

“Penganjuran festival filem secara dalam talian bukanlah perkara baharu, namun langkah integrasi festival filem yang secara tradisinya dianjurkan di lokasi dengan kehadiran sendiri penonton serta pembuat dilem adalah suatu cabaran yang baharu sepenuhnya bagi ramai penganjur festival filem di seluruh dunia, begitu juga dengan kami,” katanya dalam satu kenyataan.

-Advertisement-

-Advertisement-

Dengan tema ‘Mini in scale, Big in ambition’, beliau berkata penganjur sentiasa berusaha menampilkan filem-filem terbaik dengan sentuhan kreatif bagi memenuhi kehendak penonton menerusi platform Festival Filem Mini.

“Dengan kira-kira 200 penyertaan filem pendek yang dihantar oleh pembuat filem Malaysia tahun ini, 10 filem terbaik akan dipilih sebagai finalis bagi setiap dua kategori, iaitu MAS See Film: Kategori Terbuka dan MAS See Film: Kategori Pelajar,” katanya.

Yow berkata calon-calon ini terdiri daripada kalangan pembuat filem muda masa hadapan, berumur awal atau pertengahan 20-an, yang akan pulang dengan hadiah wang tunai sehingga RM2,400.

Ada antara filem-filem ini akan ditayangkan di seluruh dunia dan menemui penonton buat pertama kalinya seperti ‘In the Middle of Nowhere’ oleh pembuat filem Sarawak Christopher Jing Ling dan ‘Burn’ oleh Thiyagu Govindan, graduan Universiti Multimedia (MMU).

Para juri untuk festival ini adalah dari kalangan pengarah yang pernah memenangi anugerah dengan latar belakang dalam pelbagai industri, antaranya adalah Sari Dalena dari Filipina, Amerta Kusuma (Indonesia), Nadiah Hamzah (Malaysia) dan Ho Hock Doong (Malaysia).

Orang ramai yang berminat untuk mengikuti festival atau mengambil bahagian dalam webinar berkaitan, digalakkan mendaftar melalui http://bit.do/16thMFF untuk menerima pautan streaming serta pautan tayangan filem dalam talian secara percuma, dan untuk pertanyaan lain, mereka boleh menghubungi 011- 31358840.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share