Ibu tunggal tipu rakan dipenjara 48 bulan, denda RM17,000

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA TERENGGANU: Seorang ibu tunggal dijatuhi hukuman penjara 48 bulan dan denda RM17,000 di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu rakannya serta memalsukan dokumen membabitkan kerugian RM16,100.

-Advertisement-

Majistret Noor Mazrinie Mahmood membuat keputusan itu selepas tertuduh, Nurul Azia Azmi, 30, didapati bersalah terhadap enam pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan satu pertuduhan mengikut Seksyen 471KK.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420KK, tertuduh didakwa menipu Henny Wibawanti dengan memperdayakan dan sengaja mendorongnya memasukkan dan menyerahkan wang membabitkan kerugian keseluruhan RM16,100.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 hingga 28 Mei 2018.

Selain itu, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 471KK kerana memalsukan satu dokumen resit rasmi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dengan niat untuk menipu mangsa di Jalan Wakaf Tapai, Marang pada 24 Mei lalu.

Bagi pertuduhan satu hingga lima, Noor Mazrinie menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan dan denda RM3,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda bagi setiap pertuduhan.

-Advertisement-

Bagi pertuduhan keenam mengikut Seksyen 420KK, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM2,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tertuduh turut dikenakan hukuman penjara 18 bulan bagi kesalahan mengikut Seksyen 471KK.

Bagaimanapun, Noor Mazrinie mengarahkan hukuman penjara bagi pertuduhan satu hingga enam berjalan serentak bermula daripada tarikh sabitan.

Hukuman penjara bagi pertuduhan mengikut Seksyen 471KK pula berjalan berasingan sebaik hukuman penjara 30 bulan berakhir.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam Nordin Kassim.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share