Sarawak teruskan pelaksanaan PPSMI, iktiraf UEC, kata Annuar

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Annuar Rapaee berkata isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris serta pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) menunjukkan kepentingan autonomi Sarawak ke atas pendidikan.

-Advertisement-

Katanya, Sarawak kekal dengan keputusannya melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, yang juga dikenali sebagai PPSMI.

Khamis lalu, Putrajaya mengumumkan PPSMI tidak akan diperkenalkan semula di sekolah, tetapi Sarawak akan meneruskan pelaksanaannya bagi pelajar Tahun 1, mulai tahun ini.

“Kami memperkenalkan semula PPSMI di Sarawak mulai tahun ini dengan pelajar Tahun 1. Kami sudah mengkaji kritikan dan kelemahan daripada pelaksanaan terdahulu di peringkat nasional, serta mengambil langkah perlu untuk mengatasinya.”

Annuar berkata, pengkritik PPSMI memetik kajian yang menyatakan dasar itu gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, prestasi dalam 2 mata pelajaran itu dan menyebabkan polarisasi kaum.

“Saya belum baca atau meneliti kertas kajian itu, tetapi bagi saya, kita perlu lihat kenapa dasar itu gagal dan bukan hanya melupakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris.”

Katanya, Sarawak percaya pelaksanaan asal PPSMI di Tahun 1 dan Tingkatan 1 tergesa-gesa.

“Jika anda perkenalkannya untuk pelajar Tingkatan 1, mereka yang belajar subjek itu dalam bahasa Melayu dari Tahun 4 hingga 6 akan terkial-kial. Kali ini kami melakukannya secara perlahan-lahan, bermula dengan Tahun 1 dan seterusnya.”

Guru turut dilatih semula untuk mengajar subjek itu dalam bahasa Inggeris.

Annuar berkata, kerajaan persekutuan tidak menyediakan peruntukan untuk program PPSMI di Sarawak.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Annuar Rapaee.

“Kami membelanjakan hampir RM10 juta untuk membangunkan modul itu, mencetak buku teks dan buku kerja, melatih guru dan memberikan bahan sokongan kepada mereka.”

-Advertisement-

Katanya, Sarawak memilih untuk memperkenalkan semula PPSMI demi kepentingan negeri serta rakyatnya.

“Ramai graduan tempatan mendapatkan pekerjaan di sektor swasta disebabkan penguasaan bahasa Inggeris mereka yang lemah, ini zaman teknologi, Revolusi Industri 4.0, penguasaan bahasa Inggeris bukan satu pilihan.

“Suka atau tidak, bahasa Inggeris ialah bahasa perantaraan pengetahuan dan jika kita tidak dapat menguasainya, bagaimana kita hendak bersaing?” soalnya.

Beliau berkata, Sarawak juga kekal dengan pendiriannya mengiktiraf UEC untuk permohonan biasiswa tajaan negeri dan pekerjaan dalam kerajaan negeri kerana ia memanfaatkan negeri berkenaan serta rakyatnya.

“Apabila berkaitan hak Sarawak, autonomi dari segi apa yang negeri mahu bagi pendidikan sangat penting. Kami ialah negeri yang kaya dengan sumber alam semula jadi dan untuk memanfaatkannya, kami memerlukan bakat dan teknologi canggih.

“Jika kita tidak mempersiapkan rakyat kita untuk memiliki pengetahuan dan menguasai teknologi, kita perlu bergantung kepada orang asing dan ini tidak baik untuk negeri serta rakyat. Kami tidak mahu mereka ketinggalan.”

Beliau berkata, pendidikan tidak boleh dipolitikkan.

“UEC sebagai contoh, ia memainkan peranan dalam membangunkan sumber manusia, jadi kita menerima UEC untuk permohonan biasiswa. Kita tidak boleh mendiskriminasi pelajar berdasarkan latar belakang pendidikan mereka.

“Bagi orang Sarawak, apa yang penting ialah mereka mahu menyumbang kembali kepada negeri dan negara. Kita tidak patut menafikan peluang mereka untuk berbuat demikian.”

Isu UEC kembali menjadi tumpuan susulan dakwaan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia yang Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berharap kerajaan akan mengiktiraf UEC suatu hari nanti.

Tetapi, Pejabat Perdana Menteri berkata, beliau tidak memberikan sebarang komitmen kerajaan pimpinannya akan mengiktiraf UEC.

-FMT

Share this Article
  • 13
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    13
    Shares