Bayi 10 bulan maut sesak nafas di rumah pengasuh

Estimate Reading Time: < 1 minute

ISKANDAR PUTERI: Seorang bayi lelaki berusia 10 bulan meninggal dunia, dipercayai sesak nafas ketika berada di rumah pengasuhnya di Gelang Patah, dekat sini, petang semalam.

-Advertisement-

Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, bayi malang, Muhammad Nufail Mohd Nasir atau dipanggil Noah, tiba-tiba didapati mengalami sesak nafas oleh pengasuhnya yang berusia 31 tahun.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata terdahulu ayah bayi berkenaan menghantar dua anaknya iaitu Noah dan abangnya yang berusia dua tahun tujuh bulan ke rumah pengasuh berkenaan sebelum pergi ke tempat kerjanya.

“Namun pada jam 4.20 petang, bayi itu didakwa tiba-tiba mengalami sesak nafas sebelum pengasuh berkenaan dan suaminya, mengejarkan Noah ke Klinik Kesihatan Gelang Patah lima minit kemudian bagi mendapatkan rawatan.

“Namun setibanya mereka di wad kecemasan di klinik itu kira-kira jam 4.50 petang, bayi malang itu disahkan sudah meninggal dunia oleh doktor yang merawatnya,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi berkata, pengasuh berkenaan juga menjaga seramai enam orang kanak-kanak dan tiga bayi di rumahnya yang masing-masing berusia dalam lingkungan dua bulan ke lapan tahun.

-Advertisement-

“Menurut pengasuh berkenaan, pada hari kejadian Noah berada dalam keadaan tidak ceria seperti biasa dan kurang minum susu serta makanan.

“Apabila pengadu menyuapkan susu, si mati menolak dan tidak mahu minum,” katanya.

“Semasa dalam jagaan pengasuh berkenaan, bayi berkenaan juga didapati tidak ada mengalami kecederaan dan tidak pernah jatuh atau pun menunjukkan keadaan yang mencurigakan pada tubuh badannya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada anggota badan mangsa juga tidak menunjukkan sebarang kecederaan.

“Jenazah bayi berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk bedah siasat pagi tadi, ” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share