Remaja Afghanistan tembak dua pejuang Taliban bunuh ibu bapanya

Estimate Reading Time: < 1 minute

GHAZNI: Seorang remaja perempuan Afghanistan menembak mati dua pejuang Taliban dan mencederakan beberapa lagi selepas kumpulan itu mengheret ibu dan bapanya dari rumah sebelum membunuh mereka kerana didakwa menyokong kerajaan.

-Advertisement-

Kejadian minggu lalu ketika kumpulan pemberontak itu menyerbu kediaman remaja terbabit, Qamar Gul yang dianggarkan berusia lingkungan antara 14 dan 16 tahun, di sebuah perkampungan di wilayah tengah Ghor.

Pejuang itu mencari ayahnya yang juga ketua kampung, kata ketua polis tempatan, Habiburahman Malekzada kepada AFP.

“Bapa remaja berkenaan dikatakan seorang penyokong kerajaan, berikutan itu pejuang Taliban pergi ke rumahnya dan mengheretnya keluar.

“Apaila isterinya cuba menentang, pejuang Taliban membunuh kedua-duanya di luar rumah mereka.

“Gul pula berada dalam rumah, lalu mengambil senjata AK-47 milik keluarganya dan terus menembak mati dua pejuang Taliban yang membunuh ibu bapanya sebelum mencederakan beberapa yang lain,” katanya.

-Advertisement-

Beberapa pejuang Taliban berkenaan kemudian kembali menyerang rumahnya, namun diusir penduduk kampung dan penyokong prokerajaan selepas berbalas tembakan.

Pasukan keselamatan Afghanistan sudah membawa Gul dan adiknya ke tempat lebih selamat, kata jurucakap gabenor wilayah itu, Mohamed Aref Aber.

Susulan kejadian itu, rangkaian media sosial dibanjiri pujian atas tindakan berani Gul.

Gambar Gul yang memakai hijab dan memegang senapang di pangkuannya menjadi tular kebelakangan ini.

“Kami tahu ibu bapa tidak dapat diganti, tetapi anda sudah membalas dendam dan akan membuatkan kamu lebih tenang,” kata Mohamed Saleh dalam catatannya di Facebook.

Taliban sering membunuh penduduk kampung yang dicurigai memberi maklumat kepada kerajaan atau pasukan keselamatan.

Beberapa bulan yang lalu, militan turut meningkatkan serangan terhadap pasukan keselamatan walaupun sudah bersetuju untuk mengadakan rundingan damai dengan Kabul. – AFP

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •