Pesara polis rugi RM45,300, jadi mangsa sindiket African Scam

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN: Seorang pesara polis wanita kerugian RM45,300 selepas diperdaya  sindiket African Scam secara berperingkat sejak penghujung April sehingga pertengahan bulan ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan Supt Aibee Ab Ghani berkata dalam kes ini, mangsa yang berusia 60 tahun itu telah dihubungi seorang kenalannya melalui laman media sosial Facebook yang memaklumkan telah mengirim bungkusan yang mengandungi wang tunai asing kepadanya  dan meminta ia digunakan untuk kerja amal.

“Pada 29 April lepas, mangsa telah dihubungi sebuah syarikat penghantaran yang meminta dia untuk membayar sejumlah RM3,200 untuk proses penghantaran bungkusan berkenaan dan telah memasukkannya ke dalam akaun yang diberikan pada hari yang sama.

Keesokkan harinya, mangsa sekali lagi diminta untuk membayar sejumlah RM8,700 oleh syarikat yang sama sebagai bayaran duti kastam dan telah memasukkan wang ke dalam akaun yang sama secara berperingkat iaitu RM5,000, RM1,000 dan RM2,700, masing-masing pada 30 April hingga 4 Mei lepas, ” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mangsa juga telah memasukkan sejumlah wang berjumlah RM20,400 ke dalam akaun yang sama bagi tujuan proses kelulusan Kementerian Luar  serta bayaran peguam seperti yang diarahkan   syarikat yang sama, masing-masing sekitar Mei dan Jun.

Aibee berkata selain syarikat penghantaran, mangsa juga telah menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa pegawai di sebuah syarikat kewangan yang meminta dia membayar RM13,000 bagi penyediaan dokumen pelepasan bungkusan berkenaan, awal bulan ini.

“Pengadu telah memasukkan wang tersebut ke dalam akaun seorang wanita secara berperingkat masing-masing berjumlah RM8,000 dan RM5,000, pada 13 dan 15 Julai lepas,” katanya.

Beliau berkata mangsa pada 16 Julai sekali lagi dihubungi syarikat penghantaran yang meminta dia membayar RM7,800 bagi proses penghantaran bungkusan, namun mangsa tidak mampu membayarnya berikutan kehabisan wang simpanan.

Menyedari telah menjadi mangsa penipuan, Aibee berkata mangsa tampil membuat laporan polis semalam di Balai Polis Senawang dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

– BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •