Wajib pakai pelitup muka dalam pengangkutan awam, tempat tumpuan 1 Ogos

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Ogos ini, pelitup muka wajib dipakai di dalam kenderaan awam dan ketika berada di kawasan sesak atau tumpuan umum.

-Advertisement-

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yakub, berkata langkah itu diambil berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.

Katanya, pemakaian pelitup muka itu diwajibkan di kawasan tumpuan ramai seperti pasar, pasar tani dan pasar raya serta stesen pengangkutan awam.

“Dengan arahan terbaru itu, orang ramai juga boleh memakai topeng muka yang dijahit sendiri tetapi perlu mematuhi spesifikasi yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan spesifikasi untuk topeng muka buatan sendiri itu di media massa dan sosial,” katanya dalam sidang akhbar khas selepas mesyuarat menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Parlimen, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Ismail Sabri menjelaskan walaupun pemakaian pelitup muka itu berkuat kuasa 1 Ogos depan, orang ramai digalakkan untuk melaksanakan peraturan itu mulai sekarang.

Katanya, sebelum ini kerajaan tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka kerana mengambil kira golongan kurang berkemampuan.

“Ini kerana pemakaian pelitup muka adalah pakai buang yang sebaiknya digunakan untuk setiap keping bagi tempoh tiga jam atau sekurang-kurangnya sehari.

“Kini, WHO benarkan pemakaian pelitup muka yang dijahit sendiri, maka kerajaan memutuskan mewajibkan pemakaiannya di kawasan tumpuan awam dan dalam pengangkutan awam sama ada di darat, udara dan laut,” katanya.

-BH

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •