Dana PENJANA bantu rangsang semua ekonomi kreatif

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dana bernilai RM225 juta yang disalurkan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dapat membantu merancakkan semula industri seni, budaya dan hiburan negara pasca-COVID-19.

-Advertisement-

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata peruntukan berkenaan amat dialu-alukan kerana ia memberi fokus terhadap keperluan warga industri.

Katanya, bantuan dana itu memberi dorongan amat diperlukan bagi sebahagian besar ekonomi kreatif termasuk penekanan ke arah usaha pendigitalan, pembangunan dan kemampanan.

“Ini akan membantu melengkapkan inisiatif kami bagi industri kreatif dalam enam bulan yang akan datang.

“Tumpuan utama kami adalah memastikan setiap sen peruntukan sampai kepada kumpulan sasaran yang tepat secepat mungkin, dengan urus tadbir yang baik serta berintegriti.

“Saya yakin MyCreative dan LAKSANA tidak akan meminggirkan mana-mana pihak termasuk golongan wanita, anak muda serta minoriti sambil menyahut cabaran Perdana Menteri yang mahu mengelak birokrasi serta peraturan berlebihan hingga menghalang usaha pemulihan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas rasional di sebalik peruntukan itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ia langkah rangsangan ekonomi untuk industri kreatif dalam landskap ketika ini yang sukar disebabkan penularan COVID-19.

-Advertisement-

“Keputusan memberi peruntukan kepada industri seni, budaya, hiburan dan acara adalah hasil maklum balas diterima ketika sesi dialog antara Kementerian Kewangan dengan pelbagai wakil industri,” katanya.

Pengerusi MyCreative Venture, Mohd Naguib Razak, berkata peruntukan RM190 juta untuk sektor kreatif disifatkan sebagai tanggungjawab besar agensinya bagi merangka pelan demi menjamin masa depan industri kreatif negara.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Menteri Kewangan kerana memberi kepercayaan kepada MyCreative untuk merangsang semula ekonomi kreatif serta kembali sebagai penyumbang penting terhadap ekonomi digital Malaysia dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima permohonan untuk program MyCreative yang dirangka di bawah peruntukan PENJANA dengan matlamat dapat memberikan rangsangan cepat dan berkesan untuk semua yang berkaitan dengan industri kreatif tanah air.

Untuk tempoh enam bulan sehingga Disember depan, katanya, MyCreative akan memberi tumpuan membantu urus niaga dan aktiviti kreatif beralih ke dan menguasai peluang digital dan atas talian dengan lebih berkesan.

Program di bawah MyCreative meliputi 10 subsektor kreatif iaitu penciptaan kandungan (termasuk filem, kandungan penyiaran dan penstriman dan permainan video), muzik, fesyen, seni persembahan, seni visual, sastera, seni tradisional dan kebudayaan, seni kulinar, reka bentuk dan pendidikan kreatif.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share