Suami Youtuber terkenal didakwa miliki senjata berbahaya

Estimate Reading Time: < 1 minute

IPOH: Suami kepada Youtuber terkenal dengan program masakan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memiliki senjata berbahaya.

-Advertisement-

M Sugu, 29, dibawa ke mahkamah pada jam 8.45 pagi tadi dengan tangan bergari dan dihadapkan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Lelaki berkenaan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim, Mohd Fauzi Mohd Nasir dan kemudian mengaku tidak bersalah.

Isterinya, S Pavithra, 28, juga berada di mahkamah dan dilihat berbual dengan suaminya sebelum prosiding bermula, namun enggan memberi sebarang kenyataan kepada wakil media.

Mengikut kertas pertuduhan, Sugu didakwa memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah sabit berukuran 26 inci bertulis ‘Tiger’ di parkir wad Paliatif PCU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 6 petang, 21 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima tahun hingga 10 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Waffy Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam, Mahinderjit Singh.

-Advertisement-

Mohd Waffy memohon mahkamah tidak memberi jaminan kepada tertuduh atas hujah lelaki itu adalah Youtuber terkenal dan menjadi ikon kepada suami lain.

Jika dibenarkan jaminan, katanya, ikat jamin yang rendah boleh menimbulkan salah faham kepada masyarakat mengenai keseriusan kes berkenaan.

Bagaimanapun, Mahinderjit memohon mahkamah membenarkan ikat jamin atas alasan tertuduh ketika ini menanggung dua anak, selain berjanji mematuhi segala syarat tambahan yang akan dikenakan.

Peguam itu juga mendakwa, senjata yang ditemui itu disimpan dalam kenderaan, bukan pada badan tertuduh.

Mohd Fauzi kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 bersama seorang penjamin dan mengarahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali setiap sebulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 17 Ogos ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Saluran YouTube program masakan, Sugu Pavitha kini mempunyai 783,000 pengikut, termasuk dari luar negara.

-BH

Share this Article
  • 14
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    14
    Shares