Ahli Parlimen saran pelitup muka fabrik diberi percuma kepada pelajar

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Kerajaan disyorkan supaya memberi pelitup muka fabrik secara percuma kepada pelajar sekolah, selaras dengan arahan mewajibkan pemakaian alat itu, mulai Sabtu ini.

-Advertisement-

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye, berkata ia bagi meringankan beban kos sara hidup terpaksa ditanggung ibu bapa susulan pengenalan arahan berkenaan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kesihatan turut mencadangkan supaya kerajaan membekalkan dua unit pelitup muka fabrik kepada keseluruhan pelajar terbabit bagi tujuan demikian.

“Saya cadangkan pelitup muka boleh dibasuh diberikan kepada 5.4 juta pelajar, merangkumi murid prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah yang turut terdedah dengan ancaman COVID-19.

“Kos seunit pelitup separuh muka fabrik adalah kurang daripada RM2 dan ia boleh diulang guna untuk jangka panjang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

-Advertisement-

Khamis lalu, kerajaan mengumumkan arahan mewajibkan penggunaan pelitup muka di kawasan tumpuan umum atau sesak dan di dalam pengangkutan awam berikutan pertambahan kluster jangkitan COVID19 baharu yang dikenal pasti dan nasihat Kementerian Kesihatan.

Orang ramai boleh didenda RM1,000 di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) jika gagal mematuhi peraturan terbaharu itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, menggesa kerajaan menetapkan kadar siling baharu pelitup muka, bermula 1 Ogos berbanding 15 Ogos, selaras pelaksanaan wajib pemakaian alat itu.

Harga siling pelitup muka akan diturunkan 30 sen kepada RM1.20 seunit, berbanding harga sedia ada yang bernilai RM1.50, bermula 15 Ogos depan.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share