Lelaki ditembak mati selepas serang polis, tetak ibu

Estimate Reading Time: < 1 minute

BEAUFORT: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditembak mati selepas cuba menyerang polis dalam kejadian di Jalan Kampung Indumadi, di sini, semalam.

-Advertisement-

Dalam kejadian jam 7.26 pagi, lelaki berusia 24 tahun itu dikatakan bertindak menetak ibunya dan bapa saudaranya sehingga cedera menggunakan parang kerana berang.

Menurut sumber, suspek ditembak mati oleh anggota polis yang tiba di lokasi kejadian selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran polis, suspek terus mengambil sebilah parang sebelum bertindak menyerang orang ramai dan polis.

“Anggota polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri menyebabkan suspek rebah.

“Suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

-Advertisement-

Menurut sumber, dalam kejadian sebelum itu, ibu suspek berusia 60 tahun dikatakan cedera di muka dan kepala sehingga terpaksa menerima jahitan akibat ditetak suspek.

Katanya, bapa saudara suspek berusia 55 tahun juga cedera di kepala sebelum dihantar ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ahli keluarganya memberitahu suspek dipercayai kurang siuman kerana sebelum ini menagih gam dan syabu.

“Suspek juga pernah dirujuk ke Hospital Bukit Padang untuk menerima rawatan mental sebelum ini,” katanya.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Azmir Abd Razak ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share