82,555 perniagaan baharu didaftarkan ketika PKP, 4,542 ditutup

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Pendaftaran baharu syarikat meningkat sebanyak 95 peratus berbanding yang ditutup bagi tempoh antara tempoh 1 April hingga 19 Julai lalu.

-Advertisement-

Ia berpandukan statistik penutupan dan pendaftaran baharu syarikat mengikut Akta Perniagaan 1956 dikeluarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, berkata sebanyak 82,555 perniagaan baharu didaftarkan di bawah SSM, berbanding 4,542 syarikat yang ditutup.

“Sebanyak 278 syarikat ditutup, manakala 1,854 perniagaan baharu didaftarkan pada April lalu. Selain itu 1,565 syarikat ditutup, manakala 10,936 perniagaan baharu dibuka, Mei lalu.

“Sebanyak 1,595 syarikat ditutup, manakala 39,931 perniagaan baharu dibuka pada Jun lalu, selain syarikat ditutup (1,107) dan perniagaan baharu (29,834) hingga 19 Julai lalu,” katanya.

Beliau menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) yang mahu tahu jumlah perniagaan yang ‘gulung tikar’ dan perniagaan baharu didaftarkan bagi tempoh April hingga Julai, pada sesi pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

-Advertisement-

Wahid berkata, situasi itu adalah amalan biasa dalam dunia perniagaan apabila berlaku kemelesetan ekonomi.

“Ramai mereka yang dibuang kerja akan mendaftar untuk berniaga. Mereka terpaksa memilih cara atau jalan untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

“Kalau kata orang Malaysia malas, saya rasa tak betul kerana mereka akan mencari jalan untuk meneruskan kehidupan apabila berada dalam keadaan tersepit,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian), Wahid berkata, secara umumnya kebanyakan pendaftaran syarikat baharu itu membabitkan perniagaan secara dalam talian.

“Secara umumnya apabila pendaftaran syarikat meningkat antara April hingga Julai, itu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Secara logiknya, kebanyakan mereka berdaftar sebagai e-dagang dan berniaga secara dalam talian kerana ketika itu kedai fizikal tak dibenarkan beroperasi,” katanya.

-BH

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share