Perancis mahu PBB nilai layanan China terhadap etnik Uighur

Estimate Reading Time: < 1 minute

PARIS: Perancis mendesak badan pemerhati Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) segera menilai layanan buruk China terhadap etnik Uighur di negara itu.

-Advertisement-

Menteri Luar Perancis, Jean-Yves Le Drian, berkata terdapat bukti bahawa minoriti Islam itu di wilayah Xinjiang barat tidak dapat mempertahankan diri daripada tindakan atau amalan yang diperkenalkan China.

“Disebabkan China berkata kenyataan saya tidak berasas, kami mencadangkan pemerhati bebas antarabangsa yang dinaungi pesuruhjaya hak asasi PBB, Michelle Bachelet, untuk membuat penilaian bebas,” katanya pada sidang Parlimen.

Kumpulan hak asasi dan pakar berkata lebih sejuta etnik Uighur dan golongan minoriti berbahasa Turki lain sudah ditahan di kem tahanan negara itu.

Bercakap di Parlimen minggu lalu, Le Drian melemparkan beberapa tuduhan termasuk ‘kem penjara untuk warga Uighur, penahanan besar-besaran, melenyapkan etnik itu, buruh paksa, pensterilan paksa dan pemusnahan warisan Uighur’.

Bagaimanapun, Kementerian Luar China menyangkal komen itu sebagai ‘pembohongan’, dengan mendakwa isu Xinjiang bukan mengenai hak asasi manusia, agama atau etnik, sebaliknya usaha ‘memerangi keganasan dan pemisahan’.

-Advertisement-

Namun, Le Drian semalam meningkatkan tuduhan dengan mengatakan di Xinjiang terdapat ‘amalan tidak dapat dipertahankan yang bercanggah dengan prinsip global, seperti mana termaktub dalam konvensyen antarabangsa hak asasi manusia.

Beliau juga mendakwa kerajaan China melakukan ‘pengawasan meluas terhadap penduduk dan sistem penindasan yang komprehensif di seluruh wilayah’.

Beijing dan London turut berbalah atas isu sama selepas Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab, berkata terdapat pelanggaran jelas hak asasi manusia yang mengerikan di wilayah itu.

Jurucakap Kementerian Luar, Wang Wenbin menolak tuntutan itu sebagai ‘hanya khabar angin dan fitnah’.

Kontroversi layanan buruk terhadap Uighur timbul selepas ketegangan antara Barat dan China semakin memuncak akibat undang-undang keselamatan baharu di Hong Kong dan tentangan terhadap penggunaan produk keluaran syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei.

– AFP

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share