Projek KLIP, RM5.4 juta untuk 185 nelayan

Estimate Reading Time: < 1 minute

MELAKA: Kerajaan negeri Melaka memperuntukkan RM5.4 juta nilai pampasan untuk diberikan kepada 185 nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi bagi pembinaan projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) di Alor Gajah.

-Advertisement-

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali, berkata setakat ini, pihak KLIP dalam proses membangunkan kemudahan dan infrastruktur projek berkenaan, manakala Syarikat Linggi Base Sdn Bhd (LBSB) yang bertindak sebagai pemaju akan menambak laut seluas 250.9 hektar.

“Penambakan itu bagi membina kemudahan tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk kemudahan himpitan kapal.

“Hasil kajian menunjukkan pembangunan infrastruktur pelabuhan ini mempunyai ruang dan potensi berdaya maju yang akan memberikan impak positif dan nilai tambah tinggi kepada Melaka khasnya dan Malaysia amnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

-Advertisement-

Beliau berkata, sepanjang pembinaan projek itu, sebanyak 115,000 tenaga kerja dalam tempoh lima hingga lapan tahun diperlukan, dan apabila KLIP mula beroperasi, 6,000 peluang pekerjaan akan ditawarkan menjurus kepada 60 peratus pekerja mahir, 30 peratus kejuruteraan teknikal dan 10 peratus kakitangan pengurusan.

“Kerajaan negeri dan pihak KLIP sentiasa peka dan mengutamakan tenaga kerja dalam kalangan anak-anak tempatan. Selain itu, tabung atau koperasi persatuan nelayan akan ditubuhkan di samping meneruskan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang sedia terjalin,” katanya.

Beliau berkata, projek itu turut mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada usahawan setempat selain menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan negara melalui sektor pembekalan, perkhidmatan pelabuhan dan marin, pengurusan kapal, perundangan serta bayaran cukai dan dius.

Sementara itu, Sulaiman berkata bagi memenuhi persiapan menyambut ketibaan Aidiladha, kerajaan negeri turut menyumbang sebanyak RM200 kepada setiap nelayan di kawasan DUN Kuala Linggi bagi meringankan bebanan mereka.

-BERNAMA

Share this Article
  • 2
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    2
    Shares