Malaysia, Singapura bertemu atas Tambak Johor pagi ini

Estimate Reading Time: < 1 minute

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal bertemu rakan sejawatannya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, di atas Tambak Johor pagi ini sebagai simbolik persetujuan meneruskan projek Sistem Transit Rapid (RTS).

-Advertisement-

Pada pertemuan ringkas itu juga, Malaysia akan diwakili Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong; Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad.

Singapura pula bakal diwakili Menteri Pengangkutan Ong Ye Kung, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan dan bekas Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Ia juga dianggap bersejarah dan simbolik memandangkan ini adalah pertemuan pertama kali antara Muhyiddin dan Hsien Loong di atas Tambak Johor, yang dianggap sebagai antara laluan darat tersibuk di dunia dengan 350,000 pengguna setiap hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

-Advertisement-

Ini juga pertama kali Muhyiddin bersemuka dengan Hsien Loong sejak dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu, sementara Hsien Loong baru sahaja mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Singapura yang baharu pada 27 Julai lalu, setelah partinya Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi pilihan raya baru-baru ini.

Setelah tiga kali tertangguh, Malaysia dan Singapura dijangka bersetuju meneruskan pembinaan projek RTS pagi ini.

RTS, yang merupakan alternatif bagi mengurangkan kesesakan di laluan berkenaan (Tambak Johor), merangkumi pembinaan laluan sepanjang empat kilometer menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura.

Pembinaan projek RTS yang dianggap kompleks itu, sudah melalui beberapa siri dan tempoh perbincangan yang lama di bawah kepimpinan tiga Perdana Menteri Malaysia itu, kini dijangka menelan kos sebanyak RM3.7 bilion meliputi spesifikasi yang sudah dipersetujui oleh Malaysia dan Singapura.

Projek berkenaan yang mempunyai dua fasa pembinaan dijangka bermula tahun 2021 dan dijangka siap akhir hujung tahun 2026.

-BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share