Tidak setuju cerai, suami tetak isteri

Estimate Reading Time: < 1 minute

JEMPOL: Tidak setuju dengan keputusan untuk bercerai, seorang lelaki menetak isterinya menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan di bahagian leher dan tangan dalam kejadian di sebuah rumah di Ladang St Helier, Bahau, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Supt Mohd Khairiel Mohd Arif berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 7.40 pagi daripada seorang pembantu perubatan dari Klinik Ladang St Helier memberitahu bahawa seorang wanita yang berlumuran darah berada di dalam longkang di belakang rumahnya.

Beliau berkata Selasa lepas, pasangan itu telah pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara Bahau untuk mendaftarkan perceraian mereka, dan apabila pulang ke rumah, mereka bertengkar, namun pertengkaran berakhir apabila wanita itu balik ke rumah ibunya di Taman Megah Mahsan, sebelum kembali semula ke rumah selepas anak-anak pulang dari sekolah.

-Advertisement-

-Advertisement-

Menurutnya semalam, semasa berada di belakang rumah, pasangan itu sekali lagi bertengkar dengan si suami yang berumur 39 tahun, yang menuduh isterinya berumur 36 tahun itu mempunyai hubungan dengan lelaki lain.

“Lelaki itu kemudiannya mengambil sebilah parang pendek berhulu hitam yang ada di belakang rumah dan menetak isterinya di bahagian kiri leher,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Khairiel berkata kejadian disaksikan oleh anak ketiga wanita itu yang berumur 11 tahun, yang kemudiannya meminta bantuan jiran di hadapan rumah dan menurutnya pasangan itu telah berkahwin selama 18 tahun dan mempunyai enam anak perempuan.

Beliau berkata penoreh getah itu mengalami kecederaan luka akibat tetakan di bahagian leher, tangan kanan dan tangan kiri, di samping patah bahagian lengan kanan dan retak pada tangan kiri, kini sedang dirawat di zon merah wad kecemasan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, dan berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya polis telah menahan suami wanita itu dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

– BERNAMA

Share this Article
  • 1
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
    1
    Share