PDRM selesai rakam keterangan 9 individu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai merakam keterangan sembilan individu berhubung kes perhimpunan penyokong bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini, 28 Julai lalu.

-Advertisement-

Tanpa mendedahkan butiran lanjut mereka yang telah selesai memberi keterangan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, memaklumkan siasatan kes berkenaan telah lengkap.

Justeru, beliau berkata, kertas siasatan itu sudah dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya Kuala Lumpur, Rabu lalu, bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu menyertai perhimpunan haram serta Peraturan-peraturan 3 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 7) 2020,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman, hari ini.

Pada 28 Julai lalu, orang ramai yang berhimpun di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti keputusan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan Najib, dilihat tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan amalan penjarakan fizikal.

-Advertisement-

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat terhadap risiko penularan wabak COVID-19.

Sementara itu ditanya mengenai perkembangan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock pula, Abdul Hamid berkata, pihaknya telah mengambil beberapa tindakan bagi melengkapkan siasatan, termasuk mendapatkan dokumen penting daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak saya telah menerima dokumen terbabit pada Isnin lalu. Pegawai penyiasat sudah menerima lapan daripada 17 dokumen yang dimohon bagi melengkapkan siasatan kes itu,” katanya.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas ditahan SPRM, dan mayatnya ditemui di Tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam.

Mendiang adalah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

-BERNAMA

Share this Article
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •